‘Berhenti sabotaj, lebih 300 pemilik tunggu projek dijalankan secepat mungkin’

12 hours ago 5

PETALING JAYA – Seorang penduduk di Kampung Sungai Baru tampil menjelaskan bahawa majoriti pemilik telah pun bersetuju dengan projek pembangunan itu sejak beberapa tahun lalu dan kini menunggu janji pemaju ditunaikan.

Menerusi hantaran dimuat naik Ishaq Marazi di Facebook, sejak tahun 2016 lagi, penduduk sudah bersepakat untuk memajukan hartanah di kawasan itu selepas melihat kejayaan projek oleh pemaju sama.

“Ketika itu, majoriti pemilik bersetuju kerana manfaatnya lebih besar berbanding mengekalkan keadaan lama.

“Pada 2018 hingga 2019, kira-kira 70 peratus pemilik, atau sekitar 230 daripada 329 orang, telah menandatangani persetujuan. Susulan itu, kerajaan menggunakan Akta Pengambilan Tanah pada 2021 untuk merealisasikan projek berkenaan,” katanya.

Tambah Ishaq, manfaat projek pembangunan semula itu jelas, terutama kepada pemilik rumah flat yang selama ini terpaksa hidup dalam keadaan uzur dengan unit kecil satu hingga dua bilik.

“Dengan cadangan projek baharu, setiap pemilik akan mendapat dua unit kondominium. Satu boleh didiami, satu lagi boleh disewakan. Di kawasan ini, sewa sebuah studio pun boleh cecah RM2,000 hingga RM2,500 sebulan.

“Kalau sewakan dua unit, pendapatan boleh jadi RM4,000 hingga RM6,000 sebulan. Bandingkan dengan flat lama yang hanya boleh disewakan sekitar RM800 hingga RM1,200,” katanya.

Dia juga mengakui walaupun memiliki rumah bertanah, beliau tetap menyokong pembangunan semula kerana ia memberi pulangan lebih baik dan meningkatkan taraf hidup penduduk.

Mengulas mengenai cubaan segelintir pihak menghasut agar projek dihentikan, pemuda itu juga menyifatkan tindakan itu tidak wajar kerana lebih 70 peratus rumah dan flat di kawasan berkenaan telah pun dirobohkan.

“Kita simpati dengan mak cik pak cik yang sudah empat hingga lima tahun duduk rumah transit menunggu projek ini siap.

“Mustahil nak undur balik kerana rumah mereka sudah tiada. Tugas kita sekarang ialah pastikan pemaju sampaikan apa yang dijanjikan, bukannya sabotaj,” katanya.

Dalam pada itu, Ishaq turut menyelar usaha pihak yang menentang projek tersebut dengan alasan kononnya untuk membela orang Melayu.

“Saya buat status sebab harini ada provokasi dari individu tertentu yang menghasut pemilik untuk tidak berganjak. Usaha untuk mengagalkan projek ni.

“Jelas nampak pentingkan diri. Ada lebih 300 pemilik yang tunggu projek dijalankan secepat mungkin. Kalau betul ikhlas nak berjuang untuk orang Melayu, sepatutnya tolong minta pemaju supaya siapkan projek cepat, bukan sabotaj,” katanya.

Sebelum ini Kosmo! melaporkan suasana tegang menyelubungi kawasan luar Kampung Sungai Baru, Kampung Baru di sini pagi ini apabila baki 15 penduduk berdepan tindakan pengusiran selepas enggan berpindah dari kediaman mereka.

Seawal pagi, pihak polis telah memasang khemah kawalan serta mengetatkan sekatan di laluan masuk. Bagaimanapun, beberapa penduduk masih berkeras tidak berganjak malah ada yang cuba melakukan provokasi sebelum berjaya dikawal.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |