Bekas pelatih tinju berhalusinasi dituduh ceroboh, cederakan kontraktor

3 hours ago 1

MUAR – Seorang bekas pelatih tinju yang mendakwa mengalami halusinasi dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas lima pertuduhan menceroboh tiga rumah serta mencederakan kontraktor di Pagoh, Ahad lalu.

Asokdass Jayacevanagendra, 34, yang juga penganggur itu mengaku tidak bersalah sebaik kesemua pertuduhan dikemukakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Kartini Kasran.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh yang masih bujang didakwa menceroboh rumah dan mencederakan seorang kontraktor lelaki berusia 38 tahun dengan menyiku muka hingga berdarah di Taman Pagoh Jaya, di sini, 4 petang, 8 Februari lalu.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 447 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan ketiga hingga kelima, tertuduh juga didakwa menceroboh dan melakukan khianat dengan memecah tombol pintu milik mangsa berusia 38 dan 46 tahun dengan kesemua kejadian berlaku pada tarikh, waktu dan lokasi sama.

Oleh itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 dan 447 Kanun Keseksaan.

Seksyen 427 memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda RM3,000 manakala Seksyen 447, penjara enam bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, prosiding pertuduhan terganggu apabila tertuduh kerap kali mencelah menyebabkan Kartini terpaksa memberi amaran kepadanya.

“Sabar…selepas ini kamu diberi peluang bercakap. Jangan ganggu bila prosiding sedang berjalan,”kata Kartini.

Berdasarkan laporan dibuat, tertuduh memandu kenderaan dari Kuala Lumpur sebelum memasuki rumah penduduk di Taman Pagoh Jaya. Sehari sebelum kejadian, tertuduh juga didapati mencederakan bapa kandungnya di Perak.

Tertuduh bertindak memanjat pagar dan tembok selain merosakkan tombol pintu jeriji rumah milik seorang penduduk. Tertuduh juga memukul mangsa lelaki hingga cedera di muka.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yasmin Mohd Piah manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM18,000 bagi kesemua pertuduhan dan kes disebut semula pada 17 April ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam tertuduh.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |