Da’i Syed dapat tangguh hukuman selepas 21 hari dalam penjara

4 hours ago 1

PUTRAJAYA – Selepas 21 hari berada dalam penjara pendakwah selebriti Da’i Syed, yang sedang menjalani hukuman atas kesalahan merogol dibebaskan sementara oleh Mahkamah Rayuan di sini hari ini.

Ia berikutan apabila panel tiga hakim diketuai Datuk Azmi Ariffin secara sebulat suara membenarkan permohonan Da’i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd. Shaiful, 31, untuk menggantung pelaksanaan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Shah Alam.

“Setelah mendengar penghujahan daripada kedua-dua pihak dan membaca penghujahan bertulis, kami mendapati bahawa terdapat keadaan istimewa yang mewajarkan pemohon ini dilepaskan diatas jaminan sehingga rayuan pemohon (sabitan dan hukuman) di Mahkamah Rayuan ini diputuskan.

“Pemohon dilepaskan dengan jaminan berjumlah RM40,000 dengan dua penjamin, pasport diserahkan kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri di balai polis Seksyen 6, Shah Alam antara 1 hingga 5 haribulan setiap bulan bermula Mac 2026,” kata Hakim Azmi.

Sejurus selepas tamat prosiding isteri Da’i Syed, Hana Ismail, 40, yang turut hadir di mahkamah kemudian dilihat memeluk suaminya.

Terdahulu Hakim Azmi dalam berkata antara alasan Mahkamah Rayuan membenarkan penggantungan perlaksanaan hukuman kerana pemohon tidak pernah gagal menghadiri perbicaraan sama ada di Mahkamah Sesyen atau Mahkamah Tinggi sebelum ini.

Selain itu tiada keterangan yang menunjukkan pemohon pernah melarikan diri ataupun menghilangkan diri dari menghadiri prosiding.

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid.

Da’i Syed selaku pemohon diwakili peguam M.Athimulan manakala pendakwaan yang bertindak sebagai responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya Atiqah Abdul Karim@Husaini.

Pada 23 Januari lalu, Da’i Syed diperintah ke penjara Kajang serta-merta selepas Mahkamah Tinggi mengekalkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan atas kesalahan merogol seorang wanita pada tujuh tahun lalu dan selain penangguhan hukuman tidak dibenarkan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |