Ejen, orang tengah ambil RM5,000, pegawai dapat RM1,000

2 hours ago 1

BENTONG – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan bahawa ejen dan orang tengah didapati meraih keuntungan lebih besar berbanding pegawai atau penguat kuasa dalam rangkaian rasuah.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, perkara itu mendorong pihaknya untuk mengubah pendekatan terhadap operasi penguatkuasaan berhubung gejala rasuah.

“Sebagai contoh kes pekerja asing yang disenarai hitam dan mahu masuk semula ke Malaysia, ejen dipercayai mengenakan bayaran sehingga RM6,000 bagi setiap individu.

“Daripada jumlah itu, sebanyak RM5,000 dikaut orang tengah manakala hanya RM1,000 disalurkan kepada pegawai terlibat. Siapa yang jadi kaya? Ejen,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Bengkel Kewartawanan: Memahami Peranan SPRM Dalam Usaha Memerangi Rasuah, di Genting Highland hari ini.

Menurut Ahmad Khusairi, SPRM kini tidak boleh lagi hanya menumpukan kepada penahanan pegawai atau penguat kuasa sekiranya mahu membanteras rasuah secara menyeluruh.

“Mulai hari ini, saya tidak mahu lagi asyik menangkap pegawai imigresen. Sebaliknya, saya mahu menangkap ejen, syarikat dan individu yang membawa masuk pekerja asing ke Malaysia,” katanya.

Ahmad Khusairi berkata, kes melibatkan sindiket kemasukan migran jelas menunjukkan bagaimana orang tengah memanipulasi sistem dan meraih keuntungan tidak seimbang, sedangkan pegawai awam sering menerima tindakan penguatkuasaan.

Beliau turut mendedahkan corak sama dikesan dalam agensi lain termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), apabila ‘runner’ bertindak sebagai perantara antara pengusaha pengangkutan dan pegawai penguat kuasa.

“Sebelum ini kita ambil tindakan terhadap JPJ, kita ambil tindakan terhadap syarikat pengangkutan. Tetapi orang tengah sebenar antara mereka ialah ‘runner’.

“Percayalah, SPRM akan beri tumpuan kepada mereka dan akan bertindak tegas,” ujarnya.

Tegasnya, SPRM akan mengambil pendekatan kewangan yang jauh lebih agresif terhadap golongan perantara selepas ini.

“Kali ini, jika kita bertindak, kita akan pergi habis-habisan termasuk memastikan mereka muflis dan tidak lagi boleh menjalankan perniagaan di negara ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |