BENTONG – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersedia bekerjasama dengan media dengan menumpukan aspek pencegahan dan penguatkuasaan kes rasuah.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, pihaknya sentiasa bersedia bekerjasama dan tidak pernah melihat media sebagai musuh.
Malah, menurut beliau, dalam sejarah pembanterasan rasuah, kewartawanan penyiasatan atau telah memainkan peranan penting sebagai rakan semak dan imbang kepada institusi penguatkuasaan.
“Laporan penyiasatan yang beretika, berfakta serta berasaskan dokumen telah membantu mendedahkan salah guna kuasa, ketirisan dan rasuah yang sebelum ini tersembunyi daripada pengetahuan umum.
“Dalam banyak keadaan, pendedahan awal oleh media melalui penyiasatan yang teliti menjadi pencetus kepada siasatan rasmi oleh SPRM,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Bengkel Kewartawanan Memahami Peranan SPRM Dalam Usaha Memerangi Rasuah, di Genting Highland, hari ini.
Justeru, katanya, peranan media adalah sangat penting dalam menyebarkan maklumat dan mendidik masyarakat untuk menolak serta mencegah rasuah sekali gus mewujudkan negara bebas rasuah.
Terdahulu, seramai 20 pengamal media dari pelbagai agensi menyertai bengkel berkenaan selama tiga hari mulai 11 Februari lalu yang memberi pemahaman lebih jelas mengenai fungsi dan mekanisme SPRM, pengendalian siasatan serta program pencegahan yang dijalankan.
Antara lain, peserta didedahkan dengan kaedah siasatan berasaskan risikan (IBM) dalam kes rasuah serta peranan panel penilaian operasi (PPO) yang memastikan ketelusan setiap siasatan.
Turut hadir Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SPRM, Hisyam Mohd. Yusoff.
Dalam pada itu, Ahmad Khusairi Yahaya berkata, dengan maklumat berkenaan, pengamal media diharap dapat mengeluarkan laporan yang betul dan tepat kepada masyarakat.
katanya, tidak dapat dinafikan bahawa cabaran paling besar kepada SPRM dan semua agensi penguatkuasaan masa kini ialah pengaruh media sosial.
“Dalam dilema ini, apabila SPRM tidak bertindak segera, kami dituduh cuba melindungi pihak tertentu. Namun apabila SPRM mengambil tindakan tegas berlandaskan undang-undang, kami pula dilabel sebagai bertindak secara terpilih atau menjadi alat politik.
“Hakikatnya, setiap tindakan SPRM adalah berasaskan bukti, peruntukan undang-undang dan prosedur yang ditetapkan, bukan kerana sentimen awam atau kepentingan mana-mana pihak,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

3 hours ago
1













![[VIDEO] ‘Dah baling, pandai pecut kereta’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-13-at-3.01.17-PM.jpeg)



































