Bekas atlet paralimpik tak sangka video berjalan keluar bank tular

3 weeks ago 12

BACHOK – Seorang bekas atlet paralimpik sukan angkat berat tidak menyangka video dirinya berjalan keluar dengan perasaan kecewa dari sebuah bank di Kota Bharu dekat sini tular di media sosial semalam.

Muhammad Hafidz Abdul Rahman, 44, yang merupakan bekas atlet angkat berat mewakili Kelantan berkata, dia kecewa apabila mesin pengeluaran wang automatik (ATM) bank berkenaan kehabisan wang.

“Selepas video itu tular, ramai yang bersimpati dengan keadaan fizikal saya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) dan ingin membantu. Saya tidak menyangka video saya berjalan itu mampu memberi kesan kepada orang ramai.

“Saya menyara isteri Nurul Izzaifah Daud, 36, bersama dua anak berusia empat dan 11 tahun dengan menjaja keropok yang diambil daripada peniaga di Besut menggunakan motosikal roda tiga,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Kampung Mokkan, Tawang di sini hari ini.

Muhammad Hafidz memberitahu, isterinya yang juga bekas atlet paralimpik sukan petanque dan boling padang mengambil upah membuat sarung tangan di rumah dengan bayaran RM1.20 sekilogram.

“Dia mampu menyiapkan 10 kilogram sarung tangan yang dihantar dari Pulau Pinang. Walaupun pergerakan terbatas apabila hanya mampu merangkak keluar dari rumah, saya tetap keluar mencari nafkah untuk menyara isteri dan dua anak saya,” katanya.

Muhammad Hafidz berkata, perbelanjaan keluarga termasuk anak sekolah, barangan dapur dan lampin pakai buang isteri mencecah RM1,200 sebulan. Mereka mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) masing-masing RM450 sebulan.

“Buat masa ini, rezeki tetap ada dan keluarga saya tidak pernah berlapar kerana ada insan yang membantu kami dengan menghantar beras atau ikan,” katanya.

Muhammad Hafidz berkata, kesihatannya dan isteri yang menghidap penyakit saraf semakin merosot apabila sering mengalami kekejangan dan tidak boleh melakukan pekerjaan dalam tempoh dua hingga tiga hari selepas makan ubat.

Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh menghubungi Muhammad Hafidz di talian 017-962 4044 atau terus ke akaun Bank Rakyat miliknya, 2248679095. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |