MELAKA – Polis menahan dua suspek yang merupakan bapa dan anak selepas disyaki menyamar sebagai anggota polis sebelum menyamun wang tunai milik seorang lelaki warga Bangladesh, Ahad lalu.
Dua beranak itu yang masing-masing berusia 51 dan 25 tahun ditangkap sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan D9, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, hasil risikan dan maklumat, suspek berjaya dicekup di dua lokasi berasingan di kawasan perindustrian ringan Telok Mas serta pondok berhampiran Masjid Al-Alami, Ayer Keroh pada 1 dan 2 Februari lalu.
“Siasatan mendapati kedua-dua suspek dipercayai terlibat dalam kes menyamar sebagai anggota polis dan melarikan wang tunai RM720 milik lelaki warga Bangladesh yang sedang mengayuh basikal pada Ahad lalu.
“Mereka telah menahan mangsa dengan menyamar sebagai anggota polis dan berpura-pura memeriksa beg sandang warga asing itu sebelum melarikan wang tunai di dalamnya,” katanya kepada pemberita, di sini.
Ujarnya, dengan penangkapan suspek, pihak polis berjaya menyelesaikan satu kes samun yang disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan serta satu kesalahan di bawah Seksyen 170 kanun sama.
“Semakan lanjut mendapati si bapa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan mempunyai tiga rekod jenayah berkaitan kesalahan rogol, samun dan tipu, manakala anaknya yang bekerja kilang pernah terlibat dalam kes menyamar sebagai polis dan samun.
“Polis telah mendapatkan arahan pendakwaan terhadap lelaki berusia 51 tahun itu di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan dijangka akan dituduh di Mahkamah Majistret Air Keroh, esok,” ujarnya.
Tambahnya, hasil ujian saringan air kencing terhadap kedua-dua suspek bagaimanapun negatif dadah.
Kata Christopher lagi, orang awam yang pernah mengalami kejadian sama diminta tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan dijalankan secara lebih menyeluruh. – KOSMO! ONLINE

3 hours ago
3


![[VIDEO] ‘Dah salah, lagi nak tunjuk gengster tahi kucing’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/samseng.jpeg)














































