LUMUT – Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) julung kalinya menjalin kerjasama dengan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi penganjuran Program Ihtimam Ramadan 2025 di Masjid An-Nur, Pangkalan TLDM Lumut.
Program itu merupakan inisiatif tahunan Bank Islam bagi menyantuni dan berkongsi rezeki dengan komuniti sekitar, khususnya dalam meraikan kemuliaan bulan Ramadan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Datuk Mohd. Muazzam Mohamed berkata, program itu selari dengan nilai bank tersebut yang mendahulukan kemakmuran untuk semua menerusi pembangunan komuniti yang mampan dan inklusif.
“Menerusi Program Ihtimam Ramadan 2025, Bank Islam memperuntukkan RM65,000 untuk melaksanakan program murni ini termasuk RM35,000 dalam bentuk zakat yang disampaikan kepada 100 penerima asnaf yang layak.
“Ia termasuk anggota TLDM, petugas awam dan komuniti setempat selain peruntukan RM5,000 kepada Masjid An-Nur bagi menyokong aktiviti dakwah dan penambahbaikan kemudahan masjid,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Muazzam berkata, selain itu, Bank Islam turut menyumbang sebanyak RM30,000 untuk aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) seperti gotong-royong penyediaan dan pengedaran bubur lambuk di bazar Ramadan di sini.
Turut diadakan adalah kunjungan hormat wakil Bank Islam kepada Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Muhamad Azuwan Harun serta lawatan ke kapal TLDM, KD Kasturi bagi menyerahkan sumbangan kepada 152 anggota yang bertugas.
Sementara itu, Muhamad Azuwan Harun berkata, TLDM berbesar hati atas kesudian Bank Islam melibatkan pihaknya bagi inisiatif Program Ihtimam Ramadan tahun ini.
Beliau berkata, ia bukan sahaja memberi manfaat kepada warga TLDM dan komuniti sekitar tetapi juga memperkukuhkan hubungan antara kedua-dua pihak.
Program Ihtimam Ramadan 2025 merupakan kesinambungan inisiatif CSR Kumpulan Bank Islam bersama anggota pertahanan negara.
Sejak 2017, pelbagai program telah dijalankan termasuk Program Ihtimam Ramadan bersama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), RAMD 18 Para Kuala Nerus, Terengganu dan Ihtimam Ramadan 2019 bersama Anggota Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia di Shah Alam, Selangor.
Turut telah dilaksanakan ialah Ihtimam Korban bersama warga Kementerian Pertahanan di Kem Kementah (2019); Program Prihatin Banjir bersama Kementerian Pertahanan di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Kedah dan Sabah (2021 dan 2022) serta kerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia bagi pembinaan Surau Abu Hurairah di Zoo Negara Malaysia (2024). – KOSMO! ONLINE