Bajet kecil tak halang Python RC cipta kejutan

6 hours ago 5

BIARPUN hanya berbekalkan bajet yang kecil, Kelab Ragbi Python (Python RC) membuktikan semangat juang tinggi mampu mengatasi cabaran itu apabila mencipta kejutan menjuarai edisi sulung Liga Super Putrajaya.

Dalam aksi final berlangsung di padang Universiti Multimedia (MMU), Cyberjaya kelmarin, Python RC mempamerkan disiplin permainan yang kemas untuk menewaskan pasukan pilihan, Bandits UKM-Rugby.

Perlawanan sengit tersebut menyaksikan Python RC menutup tirai dengan kemenangan bergaya 23-15, sekali gus dinobatkan sebagai juara sulung ragbi Putrajaya edisi 2026.

Kapten Python RC, Muhammad Halim Abu Kassim meluahkan rasa syukur atas kejayaan tersebut yang dianggap sebagai permulaan positif buat kelab, meskipun menyedari laluan sukar untuk mengekalkan prestasi tersebut pada masa hadapan.

“Alhamdulillah, syukur kepada Allah atas kemenangan ini. Sudah tentu agak sukar untuk kami kekalkan momentum untuk dibawa ke tahun hadapan.

“Namun, perancangan terperinci telah dilakukan oleh pihak pengurusan dan barisan kejurulatihan supaya momentum kami dapat dikekalkan dan insya-Allah menjadi semakin baik.

“Untuk kekalkan kejuaraan lebih-lebih lagi di saingan Liga Putrajaya ini memang kita tahu sangat sukar. Tapi itu bukan alasan untuk pasukan kami memberikan prestasi yang buruk.

“Kami akan cuba sedaya upaya untuk memberikan saingan dan persembahan yang baik dalam setiap liga atau perlawanan yang kami sertai,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Mengulas mengenai kekangan utama pasukan, Halim tidak menafikan bahawa aspek kewangan merupakan cabaran terbesar buat pasukan kerdil seperti mereka untuk bersaing secara kompetitif.

Bagaimanapun, Halim percaya kejayaan merangkul kejuaraan edisi sulung ini mampu menjadi ‘batu loncatan’ untuk menarik kepercayaan pihak korporat dan penaja.

“Kejayaan ini boleh jadi satu bukti yang ragbi di Putrajaya ada potensi besar untuk pergi lebih jauh. Bila ada keputusan dan pencapaian, penaja akan lebih yakin untuk tampil menyokong.

“Pada masa sama, ia boleh menarik lebih ramai bakat muda untuk sertai ragbi. Dari situ, perkembangan ragbi di Putrajaya boleh bergerak dengan lebih konsisten dan tersusun,” jelasnya lagi.

Read Entire Article
Pertanian | | | |