Awie, Din, Kid bakal ‘masuk’ penjara

12 hours ago 4

GABUNGAN dua nama besar dalam industri muzik rock tanah air, Datuk Awie dan Search Kid Din yang bakal mengegarkan Konsert Jelajah Rockology 2025 merupakan antara misi untuk mengisi tabung amal (CSR).

Bukan sekadar sebuah persembahan mega ikonik, hajat merealisasikan aksi yang sudah diperincikan dengan sempurna sejak tahun lalu itu diharap mampu menghimpunkan ramai kaki muzik rock.

EDDY (tengah) berharap penubuhan RPM Group of Companies mampu mengangkat semula kegemilangan muzik rock Malaysia.

Hidupkan jiwa rock

Awie atau nama lengkapnya Ahmad Azhar Othman, 56, berkata, sebahagian keuntungan yang diperoleh daripada persembahan mega ini akan digunakan untuk merealisasikan konsert Wings dalam penjara.

“Ini bukan sekadar konsert biasa-biasa, tetapi merupakan gerakan untuk menghidupkan semula jiwa rock tanah air selain menjayakan misi menghiburkan penghuni tirai besi.

“Sebahagian dana atau keuntungan yang diperoleh daripada konsert ini akan disalurkan kepada program CSR kami yang seterusnya iaitu konsert Wings dalam penjara nanti.

“Projek khas menyantuni komuniti yang memerlukan perhatian dan sokongan pemulihan antara kami memberi kembali kepada masyarakat, terutama kepada mereka yang tersisih daripada dunia luar,” katanya selepas pelancaran RPM Group & Jelajah Rockology 2025.

Konsert jelajah bersempena pelancaran RPM Group of Companies itu menggabungkan tiga entiti iaitu Rumah Produksi Merah Sdn. Bhd., RPM Events Sdn. Bhd. dan RPM Labels Sdn. Bhd.

Menurut Pengarah RPM Group of Companies, Datuk Eddy Amir Salim, penubuhan RPM Group of Companies bertujuan untuk mengangkat semula kegemilangan muzik rock Malaysia.

“Penubuhan RPM ini bukan sekadar gabungan syarikat tetapi gerakan memperkukuhkan industri hiburan Malaysia dengan pendekatan yang lebih profesional dan tersusun dan berimpak tinggi.

“Dengan adanya ketiga-tiga entiti ini di bawah satu bumbung, kami percaya sinergi ini akan menghasilkan karya-karya yang bukan sahaja menghiburkan malah memberi nilai tambah kepada masyarakat dan negara.

“Usaha untuk mengisi tabung bagi program kumpulan Wings di penjara terpilih juga saya lihat sebagai projek murni yang secara harfiahnya dengan sokongan orang ramai,” katanya.

AWIE, Din dan Kid dijangka akan mencipta satu pengalaman yang penuh bertenaga dan beremosi apabila peminat dari pelbagai generasi menerusi rantaian lagu hits yang mengiringi kehidupan ramai selama berdekad lalu.

Gabungan ikonik

Eddy berkata, penyatuan Awie dengan Search (Kid dan Din) yang mewakili legasi kumpulan rock Search, turut memberi sentuhan nostalgia dan adrenalin terhadap konsert ini.

“Kid dan Din yang merupakan anggota asal Search membawa elemen klasik dan tenaga yang membangkitkan semangat zaman 1980-an dan 1990-an, tempoh di mana muzik rock mencapai puncaknya di Malaysia.

“Gabungan kedua-dua ikon rock ini di pentas Rockology dijangka mencipta satu pengalaman yang penuh dengan tenaga dan emosi apabila peminat dari pelbagai generasi dapat menikmati lagu hits yang mengiringi kehidupan ramai.

“Kami amat mengalu-alukan penaja atau rakan strategik untuk turut serta dalam menjayakan konsert ini, bukan sahaja sebagai platform muzik, tetapi sebagai gerakan budaya dan sosial,” ujarnya.

Konsert Jelajah Rockology 2025 dijadual berlangsung di dua lokasi iaitu Midtown Perda, Pulau Pinang pada 21 Jun disusuli Educity Sports Complex, Iskandar Puteri, Johor pada 5 Julai.

Jelajah ini dijangka menarik kehadiran 15,000 peminat muzik rock dari seluruh Malaysia serta Singapura. Tiket boleh dibeli menerusi laman web https://rpm.ubertickets.asia/ dengan harga bermula daripadaRM98.

Read Entire Article
Pertanian | | | |