WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) menghentikan penghantaran sejumlah senjata utama ke Ukraine yang pernah dijanjikan di bawah pentadbiran bekas Presiden, Joe Biden untuk digunakan dalam peperangan menentang Russia, demikian menurut pengumuman White House semalam.
Menghentikan penghantaran misil dan bantuan ketenteraan lain termasuk sistem pertahanan udara akan menjadi tamparan hebat kepada Kyiv ketika ia berdepan beberapa serangan peluru berpandu dan dron terbesar Russia dalam perang tiga tahun itu.
“Keputusan ini dibuat untuk mengutamakan kepentingan AS selepas kajian DOD (Jabatan Pertahanan) dibuat terhadap sokongan dan bantuan ketenteraan Washington kepada negara lain di seluruh dunia,” kata Timbalan Setiausaha Akhbar White House, Anna Kelly kepada AFP menerusi e-mel.
Sehingga kini, AS telah menghantar senjata dan bantuan ketenteraan bernilai lebih AS$66 bilion (RM280 bilion) kepada Ukraine sejak Russia menyerang negara itu pada Februari 2022, lapor akhbar The Guardian.
Sepanjang konflik itu, AS secara rutin mendesak sekutu-sekutunya untuk menyediakan sistem pertahanan udara ke Ukraine.
Namun, ramai yang enggan melepaskan sistem berteknologi tinggi mereka, terutamanya negara-negara di timur Eropah yang turut berasa terancam oleh Russia.
“Kekuatan Angkatan Bersenjata Amerika Syarikat tidak mampu dipersoalkan. Tanya sahaja kepada Iran,” kata Kelly sambil merujuk kepada pengeboman dan serangan peluru berpandu AS baru-baru ini terhadap kemudahan nuklear Tehran.
Kajian Pentagon mendapati bahawa stok telah menjadi terlalu rendah bagi beberapa amunisi yang dijanjikan sebelum ini, manakala sebilangan penghantaran yang belum selesai kini tidak akan dihantar, kata seorang pegawai AS yang enggan namanya disiarkan.
Akhbar Politico dan media AS lain melaporkan bahawa peluru berpandu untuk sistem pertahanan udara Patriot, artileri ketepatan dan peluru berpandu Hellfire adalah antara penghantaran yang ditahan.
“Tentera Amerika tidak pernah lebih bersedia dan lebih berkemampuan,” kata jurucakap DOD, Sean Parnell.
“Pakej pemotongan cukai dan perbelanjaan utama yang bergerak melalui Kongres akan memastikan senjata dan sistem pertahanan kita dimodenkan untuk melindungi daripada ancaman abad ke-21 untuk generasi akan datang,” tambahnya. – AFP