Ammar Nazhan tidak mengaku gaduh gempar di Bukit Bintang

1 week ago 15

KUALA LUMPUR – Pensohor media sosial Ammar Nazhan antara enam individu yang didakwa ke Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan gaduh gempar di sebuah pusat beli-belah di ibu negara, minggu lalu.

Bagaimanapun, Ammar atau nama sebenarnya Ammar Mohd. Nazhan Noralyadi, 29 dan seorang lagi pencipta kandungan, Muhammad Hafizul Haiman, 23, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu yang dibacakan dihadapan Majistret Aina Azahra Arifin

Sementara itu, empat lagi individu, Abdul Rahim Abd Hakim, 23, Muhammad Ady Putra Amirul Abdul Rahman, 18, Muhammad Al Mubarak Bahauddin Selamet, 28, dan Jebat Zulfar Nurfakhrullah Abd. Ghapar 24, didenda RM500 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan sama.

Sekiranya empat individu itu gagal membayar jumlah denda itu, mereka boleh dipenjara selama sebulan.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa melakukan gaduh gempar di tempat awam di restoran sebuah pusat beli-belah, di Bukit Bintang di sini pukul 10.15 malam pada 25 Februari lalu.

Justeru, kesemuanya didakwa mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Hench Goh menawarkan jaminan sebanyak RM3,000 ke atas Ammar Nazhan dan Muhammad Hafizul.

Bagaimanapun peguam K. Ramalingam memohon agar mahkamah membenarkan jaminan yang minima ke atas kedua-dua anak guamnya itu atas alasan menanggung keluarga.

Selepas mendengar makluman kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM3,000 bagi setiap tertuduh selain menetapkan 14 April depan bagi sebutan kes.

Sebelum hukuman tersebut dikenakan, Abdul Rahim, Muhammad Ady Putra, Muhammad Al Mubarak dan Jebat Zulfar yang tidak diwakili peguam merayu agar hukuman mereka dikurangkan masing-masing atas alasan sudah menyesal dan insaf, menanggung isteri, anak-anak, dan keluarga serta perlu membayar komitmen bulanan.

Sebelum ini, media melaporkan polis menahan seramai 11 lelaki bagi membantu siasatan kes rusuhan yang berlaku di sebuah restoran di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, insiden itu berlaku sekitar pukul 12.45 tengah malam melibatkan penyokong perlawanan tinju pempengaruh media sosial YouTube dan TikTok. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |