3 punca jatuh taklik, lusa pengesahan lafaz cerai

5 hours ago 3

SEPANG – Pelakon dan pelawak terkenal, Along Cham mendedahkan tiga sebab utama jatuhnya lafaz taklik terhadap isterinya, Afreena Suhaimi pada Julai tahun lalu, termasuk tindakan wanita itu menghubungi bekas isterinya, Zila Saeron.

Menurut Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad, 42, perbuatan tersebut berlaku di kediamannya di Cyberjaya selepas amaran yang diberi tidak dipatuhi.

“Saya sudah beri amaran, kalau dia hubungi bekas isteri saya atau kongsi lokasi sekolah anak, maka jatuh talak satu. Tapi dia tetap berhubung dan kongsi lokasi anak.

“Dia cari Zila dengan alasan naluri seorang ibu. Tapi anak kandung sendiri pun dia tak pernah mengaku. Saya dapat tahu mereka sudah mula berhubung sejak Jun 2024.

“Saya tak pasti niat dia, mungkin sebagai pemberi maklumat,” katanya kepada Kosmo! Online.

Along memberi keterangan itu ketika disoal peguamnya, Muhammad Akmal Amzan dalam prosiding di hadapan Hakim Syarie, Muhamad Nazri Basrawi.

Selain isu komunikasi dengan bekas isteri, dua lagi punca turut diketengahkan Along sebagai pencetus jatuhnya lafaz taklik, termasuk isu curang dan tidak menghormati keputusan suami.

“Curang ini bukan semata-mata soal hubungan sulit, tapi dia tipu saya dan buat keputusan tanpa berbincang. Saya ada bukti.

“Saya sengaja tak serahkan dulu sebab bimbang pihak sana akan menyerang saksi saya,” jelasnya pada prosiding kedua pengesahan lafaz cerai taklik di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, hari ini.

Tambah pelakon filem Adnan Sempit 3 itu, pihaknya turut mengemukakan rakaman audio sebagai bukti Afreena sedar mereka sudah kembali rujuk selepas lafaz cerai.

“Dia tahu kami sudah rujuk dan dia maklumkan kepada sahabat baik serta orang sekeliling. Saya ada bukti rakaman,” jelasnya.

Mahkamah menetapkan 3 Julai (Khamis) ini sebagai tarikh sebutan semula bagi tuntutan pengesahan lafaz cerai.

Terdahulu, Afreena mendakwa rumah tangga mereka mula berantakan sejak dua bulan selepas bernikah dan pernah berlaku lafaz cerai di luar mahkamah pada Julai 2024.

Pasangan itu bernikah pada 4 April tahun lalu. Ini merupakan perkahwinan kedua buat Along dan Afreena. Masing-masing mempunyai anak daripada perkahwinan terdahulu.

Along sebelum pernah bercerai penyanyi Zila Saeron pada September 2016, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Ahmad Daniel, 14, yang kini di bawah jagaannya. Manakala Afreena pula mempunyai tiga orang anak hasil perkahwinan pertama. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |