SEPANG – Kumpulan pengembara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 menyambut baik pengoperasian semula perkhidmatan Aerotrain yang mana ia disifatkan bukan sahaja mempercepatkan pergerakan antara terminal, malah memberi keselesaan lebih baik kepada pengguna.
Pelancong dari Aceh, Indonesia, Siti Hasnidar Hasbi Ali Bashah, 57, berkata, perkhidmatan tren itu memudahkan pergerakan pelancong khususnya warga emas apabila masa perjalanan lebih singkat.
“Sebelum ini pergerakan antara terminal utama dengan satelit perlu dibuat menerusi perkhidmatan bas, namun dengan tren ini ia lebih cepat dan memudahkan,” katanya ketika ditemui pemberita di Bangunan Satelit di Terminal 1 KLIA, di sini tadi.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan berpuas hati dengan perkhidmatan tren itu yang mula beroperasi hari ini.
Selain itu, pelancong dari Kalimantan Timur, Indonesia, Wahyu Santoso, 63, berkata, beliau begitu teruja apabila berpeluang menaiki Aerotrain yang baharu dinaik taraf.
“Saya sangat kagum. Ini kali pertama saya ke Malaysia dan kali pertama juga menaiki Aerotrain. Perjalanannya sangat lancar dan cepat antara terminal utama dan terminal satelit,” katanya.
Wahyu berkata, kemudahan itu bukan sahaja menjimatkan masa, malah memberi pengalaman tersendiri sepanjang berada di KLIA.
Bagi Chia Yee Kim, 26, dari Sekinchan, Selangor, yang baru pulang bercuti di Taiwan, perkhidmatan Aerotrain yang disambung semula amat memudahkan pergerakannya selepas tiba di lapangan terbang.
“Sebelum ini saya perlu naik bas untuk ke bangunan satelit dari terminal utama, sekarang dah boleh naik Aerotrain semula. Lebih cepat dan selesa, terutama bila bawa bagasi banyak,” katanya.
Perkhidmatan Aerotrain yang tergendala selama 28 bulan sebelum ini dinaik taraf dengan kos RM456 juta di bawah Pelan Regenerasi Lapangan Terbang oleh Malaysia Airports Holdings Bhd.
Tren baharu tanpa pemandu jenis Alstom Innovia APM 300R itu kini mampu membawa sehingga 270 penumpang pada satu-satu masa, dengan perjalanan kurang tiga minit antara terminal utama dan terminal satelit. – KOSMO! ONLINE