Ameca robot humanoid termaju dunia, kuat sindir manusia

1 day ago 7

PADA Mobile World Congress (MWC) di Barcelona, Sepanyol baru-baru ini, kemunculan sebuah robot humanoid dikenali sebagai Ameca mencuri perhatian ramai dengan interaksi penuh kecerdasan dan sindiran tajam.

Robot dikuasakan kecerdasan buatan (AI) itu dilihat hadir pada kongres berkenaan dengan fizikal seakan manusia, beroperasi dengan lancar serta bersoal jawab dengan wartawan yang hadir ke majlis berkenaan.

Antara soalan yang dikemukakan adalah; ‘‘Adakah robot akan mengambil alih pekerjaan manusia?” dan dengan penuh sinis Ameca menjawab; “Saya tidak tahu. Sejauh mana anda bagus dalam pekerjaan anda?”

Jawapan itu juga diikuti dengan tambahan yang lebih sinis, “saya rasa ia bergantung kepada sejauh mana anda mahir melakukannya.”

Berdasarkan perkongsian daripada portal Interesting Engineering, robot yang dibangunkan oleh syarikat British, Engineered Arts itu sering digelar sebagai robot humanoid paling maju di dunia (World’s most advanced humanoid).

“Ameca mempunyai keupayaan luar biasa dalam pemprosesan soalan, memberikan jawapan pantas serta ekspresi wajah yang sangat menyerupai manusia.

“Namun begitu, Ameca masih dalam fasa pembangunan bagi versi yang lebih lincah dengan tubuh penuh serta bakal menjadikannya lebih mirip manusia,” katanya.

Tambah portal itu, buat masa ini, Ameca boleh disewa untuk acara bagi mempamerkan sejauh mana keupayaan sebuah robot humanoid dalam berkomunikasi pada situasi harian.

Ameca mempunyai keupayaan untuk berkomunikasi.

Ameca mula diperkenalkan kepada dunia pada tahun 2021 dengan versi awal yang tidak mempunyai keupayaan untuk bergerak.

Berkongsi tentang Ameca, penciptanya Will Jackson memberitahu, robot humanoid ini direka untuk berinteraksi dengan manusia dengan cara yang semula jadi dan realistik.

Ia dilengkapi sistem AI canggih yang membolehkannya memahami, menafsir, dan memberikan tindak balas terhadap pertanyaan serta situasi di sekelilingnya.

Dengan kamera yang dipasang di mata, mikrofon sensitif dan teknologi pengecaman wajah, Ameca boleh meniru ekspresi manusia dengan tepat, menjadikannya salah satu robot paling realistik yang pernah dicipta.

“Ameca bukan sekadar mesin yang boleh bercakap. Ia juga boleh menyesuaikan nada suaranya, menunjukkan emosi melalui ekspresi wajah dan menggunakan pergerakan tangan serta kepala untuk menyampaikan mesej dengan lebih berkesan.

“Sifatnya yang boleh menyesuaikan diri ini menjadikannya ideal untuk aplikasi dalam industri perhotelan, pendidikan dan perkhidmatan pelanggan,” ujarnya.

Kongsinya lagi, teknologi di sebalik Ameca menggunakan gabungan AI dan pembelajaran mesin untuk meningkatkan keupayaannya berinteraksi dengan manusia.

Antara teknologi utama yang digunakan termasuk sistem pengecaman wajah, Pemprosesan Bahasa Semula Jadi (NLP), ekspresi wajah yang dinamik dan sistem sensor sensitive.

Menerusi teknologi ini, Ameca berupaya mengenali individu dan memberikan tindak balas yang lebih peribadi dan memahami pertanyaan manusia dengan lebih baik serta memberikan jawapan yang relevan.

Ekspresi wajahnya juga digerakkan oleh motor kecil yang membolehkan Ameca meniru emosi manusia seperti kegembiraan, kejutan dan kebimbangan.

Penampilan terkini Ameca yang mempunyai rupa paras lebih lengkap pada MWC, Barcelona baru-baru ini.

Sensor pada Ameca juga membantu dalam mengesan pergerakan di sekelilingnya dan menyesuaikan reaksi berdasarkan situasi.

Kewujudan Ameca jugalah yang menjadi antara faktor yang membangkitkan kebimbangan orang ramai terhadap potensi robot menggantikan manusia terutama dalam sektor pekerjaan.

Dalam satu artikel yang ditulis oleh Ketua Sumber Manusia di Nexus Mall, Santosh Kumar Dhanewar, meskipun isu ini bukan baharu, tetapi dengan kemajuan dalam bidang AI dan automasi, semakin banyak pekerjaan yang dahulunya memerlukan tenaga manusia kini boleh dilakukan oleh mesin.

“Walau bagaimanapun, tidak semua pekerjaan boleh digantikan oleh robot terutama bagi yang memerlukan kemahiran teknikal yang tinggi seperti jurutera bunyi, pakar bedah atau pengkaji sains masih memerlukan kreativiti, pemikiran kritikal dan empati, sesuatu yang AI masih belum dapat tiru sepenuhnya.

“Namun, pekerjaan yang bersifat rutin dan berulang seperti operator kilang atau perkhidmatan pelanggan asas mungkin akan terjejas lebih awal kerana AI boleh menjalankan tugas ini dengan lebih cekap dan tanpa keletihan,” jelasnya.

Katanya lagi, di sebalik isu ini, masyarakat juga perlu melihat bahawa kemajuan pesat AI turut mencipta peluang pekerjaan baharu, terutamanya dalam sektor teknologi, termasuk penyelenggaraan AI dan pembangunan algoritma.

Dalam erti kata lain, AI bukanlah penghapus pekerjaan, sebaliknya ia akan menambah baik pekerjaan sedia ada dengan mengalihkan tenaga kerja manusia kepada tugas-tugas strategik dan penyeliaan, sementara tugas rutin diserahkan kepada mesin.

Buat masa ini, mesej terakhir daripada Ameca tidak memberikan jaminan kukuh mahupun amaran keras. Sebaliknya, ia menjadi peringatan bahawa kebangkitan AI adalah sesuatu yang kompleks dan sentiasa berubah.

“Selagi kita masih mengelakkan automasi secara membabi buta dalam industri dan masih bergantung kepada manusia mahir untuk mereka bentuk, membimbing, serta menyelenggara sistem automasi, perbincangan mengenai bila robot akan menggantikan pekerjaan manusia masih terbuka.

“Namun, pada masa sama kita tidak boleh menafikan satu kebenaran bahawa setiap tahun kemajuan AI mungkin akan berubah dengan lebih pantas daripada yang kita sangkakan,” ujar Santosh.

Read Entire Article
Pertanian | | | |