PASIR MAS – Seorang lelaki yang diburu polis untuk membantu siasatan kes pembunuhan seorang wanita hamil tujuh bulan yang ditembak pada perutnya sebelum mayat ditinggalkan di dalam kereta di Kampung Teresek, Repek di sini tiga tahun lalu akhirnya dicekup semalam.
Suspek yang dikenali sebagai Aimay, 24, ditahan oleh pegawai dan anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) di jalan Bukit Lata di sini kira-kira pukul 7 malam.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisoner Kama Azural Mohamed berkata, hasil soal siasat awal Aimay tidak mengaku menembak wanita berkenaan.
Menurutnya, anggota PGA turut menahan seorang lagi lelaki berusia 24 tahun bersama suspek.
“Kedua-dua suspek ditahan selepas anggota PGA mengesan sebuah kereta jenis Proton Persona yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan ke atas tubuh badan mereka tidak menjumpai barang yang menyalahi peraturan. Ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.
Terdahulu, lelaki yang berasal dari Kampung Pak Jak di sini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes tersebut.
Perintah tahanan reman yang bermula hari ini hingga Rabu depan terhadap suspek dikeluarkan oleh Majistret Syed Farid Syed Ali.
Tahanan reman itu bagi membolehkan pihak polis menyiasat kes tersebut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Terdahulu, suspek yang memakai baju lokap berwarna ungu tiba di pekarangan Mahkamah Majistret di sini dengan menaiki trak polis kira-kira pukul 9 pagi.
Akhbar Kosmo! sebelum ini melaporkan, hasrat seorang yang sarat hamil tujuh bulan untuk pergi mengurut tidak kesampaian apabila dia dijumpai mati selepas terkena tembakan pada perut di Kampung Teresek, Repek di sini pada 3 Jun 2022.
Mayat mangsa, Farrah Emirah Mazlan, 26, yang juga ibu tiga anak berusia tiga hingga 10 tahun ditemukan kira-kira pukul 4 petang dalam keadaan terbaring di tempat duduk kereta jenis Nissan Cefiro.
Siasatan polis mendapati, mangsa dipercayai ditembak dengan sepucuk pistol jenis semi auto .380 berdasarkan penemuan kelongsong peluru di dalam kereta tersebut.
Mangsa yang juga peniaga kedai runcit dipercayai sedang dalam perjalanan untuk mengurut di Kampung Teresek dan ditemui kira-kira 15 kilometer dari rumahnya di Kampung Bukit Lata di sini. – KOSMO! ONLINE