Ahmad Zahid sambut baik penekanan TVET dalam RMK13

1 day ago 10

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyambut baik penekanan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) terhadap pembangunan modal insan berkemahiran tinggi.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis TVET berkata, ia sejajar dengan tekad pihaknya dalam menjadikan TVET sebagai laluan utama melahirkan tenaga kerja yang relevan dan kompetitif.

“Ia termasuklah pelaksanaan Program TVET Madani yang kini menyasarkan pelajar tahfiz dan huffaz. Justeru, saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas keprihatinan mendalam terhadap pemerkasaan TVET.

“Fokus akan diberikan dalam memperluas akses latihan kemahiran, meningkatkan kadar gaji graduan TVET dan melaksanakan strategi berfokus yang menyelaras kehendak industri dengan pembangunan ekonomi negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas sesi Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid juga berterima kasih atas pemerkasaan bumiputera melalui pelaksanaan agenda Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA 35) yang diterapkan dalam RMK13.

Beliau berharap ianya dapat memberikan manfaat kepada semua peringkat golongan termasuk di luar, di pinggir, dan di dalam bandar serta rakan-rakan di Sabah Sarawak.

Selain itu, Ahmad Zahid juga menzahirkan terima kasih kerana RMK13 juga memberi fokus kepada pengurusan bencana negara dimana lebih RM20 bilion diperuntuk untuk projek tebatan banjir dan sistem amaran awal berasaskan kecerdasan buatan (AI) serta pengukuhan kesiapsiagaan dan tadbir urus bencana.

“Saya kira ini adalah merupakan rancangan jangka panjang yang dapat memberikan mitigasi kepada masalah bencana alam seperti banjir yang kita cuba atasi selama ini,” katanya.

Sementara itu Ahmad Zahid berkata RMK13 yang dibentangkan Perdana Menteri hadir pada saat negara berdepan ketidaktentuan ekonomi global dan gangguan rantaian bekalan yang mencabar daya saing dan kesejahteraan rakyat.

Jelasnya, sebagai pelan pembangunan lima tahun, RMK13 bukan sekadar dokumen ekonomi malah ia mencerminkan komitmen kerajaan untuk menjamin kesejahteraan rakyat, memacu pertumbuhan yang inklusif dan saksma serta memastikan tiada rakyat yang terpinggir.

Terdahulu, Anwar membentangkan RMK13 kira-kira pukul 12 tengah hari ini di Dewan Rakyat.

Anwar berkata, pembentangan RMK13 akan akan membawa natijah terbaik buat rakyat dan meletakkan asas yang kukuh untuk Malaysia melangkah ke dekad yang lebih gemilang.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |