Ahmad Zahid mohon lepas, bebas 47 pertuduhan

16 hours ago 7

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memohon untuk dilepas dan dibebaskan berhubung 47 pertuduhan kesalahan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram di Mahkamah Tinggi di sini.

Perkara itu disahkan peguam yang mewakili Ahmad Zahid, Datuk Hisyam Teh Poh Teik ketika ditemui selepas prosiding berhubung permohonan itu di hadapan Hakim Nurulhuda Nur’Ain Mohamad Nor hari ini.

Menurut Hisyam antara alasan permohonan tersebut ialah kes sudah lebih dua tahun, namun anak guamnya hanya dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Tinggi.
“Jadi tidak adil untuk seseorang… pertuduhan itu sentiasa tergantung. Dia perlu mencari kebenaran,” katanya.

Tambah Hisyam permohonan itu yang turut disertakan dengan sijil perakuan segera untuk didengar, diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 30 Januari lalu.

Sementara itu Timbalan Ketua Pendakwaan II Datuk Badius Zaman Ahmad ketika ditemui mengesahkan permohonan tersebut.

“Pihak kami menerima permohonan itu pada 30 Januari dan mahkamah mengarahkan pihak kami memfailkan afidavit jawapan pada 13 Februari ini,” kata Badius.

Menurut beliau, mahkamah kemudian menetapkan 24 Februari ini bagi pendengaran
permohonan itu.

Ahmad Zahid memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi pada 28 Januari lalu dengan menamakan AGC sebagai responden, dengan alasan Peguam Negara dalam satu kenyataan media pada 8 Januari lalu, memutuskan tiada tindakan lanjut (NFA) terhadap 47 pertuduhan berkenaan.

Pada 8 januari lalu, AGC memutuskan bahawa tiada tindakan lanjut (No Further Action) berhubung 47 pertuduhan kesalahan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan Ahmad Zahid.

Menurut AGC, keputusan itu sekali gus membawa kepada penamatan muktamad kes tersebut selaras dengan kuasa dan budi bicara Peguam Negara di bawah Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkaitan.

AGC berkata, pihaknya mendapati keterangan yang ada tidak mencukupi untuk menyokong meneruskan pendakwaan bagi kesemua pertuduhan tersebut.

“Selain itu, pertimbangan dan penilaian dalaman pendakwaan yang direkodkan pada peringkat awal berhubung kesesuaian, dan kecukupan keterangan bagi menyokong pendakwaan serta kebolehkekalan penerusan pendakwaan,” kata kenyataan itu.

Penelitian turut melibatkan langkah-langkah siasatan lanjut dan terperinci yang kemudiannya dijalankan pihak SPRM bagi melengkapkan dan memperhalusi gambaran keseluruhan fakta, konteks dan keterangan baharu.

Ia turut meliputi dapatan hasil siasatan lanjut yang merangkumi keseluruhan tempoh penubuhan dan operasi Yayasan Akalbudi, termasuk aliran dan sumbangan dana ke dalam yayasan itu dari semasa ke semasa.

Terdahulu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 September 2023 melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid daripada 47 tuduhan melibatkan kesalahan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi.

Berikutan keputusan itu, siasatan lanjut dan terperinci dijalankan oleh SPRM yang merangkumi aspek berkaitan sumber dana, kaedah perolehan dan penggunaan dana tersebut. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |