7 individu ditahan insiden pengosongan Kampung Sungai Baru

3 hours ago 3

KUALA LUMPUR – Polis menahan tujuh individu berhubung insiden kekecohan ketika operasi pengosongan rumah di Kampung Sungai Baru, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, sehingga kini pihaknya telah membuka tiga kertas siasatan berhubung insiden itu.

Katanya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 186 dan 353 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta menyebabkan kecederaan terhadap pegawai polis.

Menurutnya, seorang lelaki berusia 26 tahun telah didakwa di mahkamah semalam, mengaku bersalah dan dijatuhi hukuman denda RM1,500 sebelum dibebaskan.

“Enam lagi suspek masih direman bagi membantu siasatan. Antara yang ditahan termasuk tiga remaja berusia 15 hingga 19 tahun yang tidak bersekolah, manakala suspek paling tua berusia 50 tahun,” katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.

Beliau berkata, siasatan mendapati kesemua suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan sebuah pertubuhan tertentu dan ada antara mereka yang memegang jawatan dalam pertubuhan itu.

“Kita percaya mereka ada kaitan dengan bantahan terhadap program pengosongan rumah yang dilaksanakan mengikut perintah mahkamah. Polis juga masih mengesan beberapa individu lagi dipercayai terbabit,” jelasnya.

Fadil menegaskan, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menggugat ketenteraman awam.

“Dalam operasi ini kita banyak menggunakan budi bicara dan toleransi. Tetapi sekiranya insiden sebegini berulang, tindakan kita selepas ini akan lebih agresif dan tegas,” ujarnya.

Beliau dalam pada itu memaklumkan, pegawainya yang cedera dalam insiden berkenaan kini berada dalam keadaan stabil dan dibenarkan berehat.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman cedera di bahagian kepala akibat rempuhan halangan polis oleh sekumpulan individu di kawasan operasi terbabit.

Susulan daripada kejadian itu, polis menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan berhubung insiden berkenaan.

Projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru sebelum ini mendapat tentangan sebahagian penduduk walaupun majoriti sudah menerima tawaran pampasan dan berpindah keluar lebih awal. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |