4,687 persatuan, kelab sukan seluruh negara tidak akftif

4 hours ago 2

KUALA LUMPUR – Sebanyak 4,687 persatuan dan kelab sukan telah direkodkan sebagai tidak aktif atau bermasalah bagi tempoh 2020 hingga 2025, kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan (KBS), Mordi Bimiol.

Beliau berkata, jumlah itu melibatkan 23 badan sukan peringkat kebangsaan, 206 peringkat negeri, 486 peringkat daerah dan 3,972 peringkat kelab.

Katanya, antara isu badan sukan yang berbangkit adalah berkaitan dengan tadbir urus badan sukan melibatkan pelanggaran perlembagaan badan sukan dan pelanggaran Akta Pembangunan Sukan 1997 [Akta 576].

“Bagi memperkasa badan sukan, program pengukuhan tadbir urus badan sukan merupakan mekanisme yang telah dilaksanakan dengan memberi tumpuan kepada bimbingan dan latihan bagi meningkatkan kecekapan pengurusan.

“Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk Kursus Pengurusan Organisasi Badan Sukan, Program Pengukuhan Advokasi Governans dan Integriti, Hari Bertemu Pelanggan dan Sesi Dialog Awam bersama Badan Sukan,” katanya di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) mengenai jumlah persatuan atau kelab sukan tidak aktif atau bermasalah sepanjang tempoh itu, serta tindakan dan mekanisme pemulihan oleh KBS.

Mordi berkata, Jawatankuasa Pertikaian Sukan turut berfungsi sebagai mekanisme untuk memberi nasihat dan membantu menyelesaikan pertikaian dalam badan sukan selaras dengan seksyen 24, Akta Pembangunan Sukan 1997 [Akta 576], sekiranya badan sukan berkenaan tidak dapat menyelesaikan pertikaian secara dalaman.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan mengenai minat Generasi Z terhadap persatuan belia yang dikatakan semakin berkurang, Mordi berkata, pelaksanaan had umur belia berpersatuan antara 15 hingga sebelum mencapai 30 tahun melalui Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 [Akta A1602] yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2026 merupakan reformasi struktur penting bagi memastikan proses regenerasi kepimpinan belia yang lebih tersusun, dinamik.

“Berdasarkan rekod Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) setakat 31 Januari, sebanyak 8,087 pertubuhan belia adalah berdaftar yang mana keahlian di bawah umur 30 tahun pula adalah seramai 545,587 orang.

“KBS juga telah mempertimbangkan sebanyak RM2.5 juta yang memberikan manfaat kepada 431 pertubuhan belia bagi pelaksanaan program dan aktiviti di bawah Dana Bantuan Pembangunan Belia dan Rakan Muda bagi tahun 2025. Inisiatif ini akan diteruskan lagi bagi tahun 2026,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |