30 suspek termasuk 9 individu dikendaki kes jenayah seksual ditahan

1 week ago 14

KOTA BHARU – Seramai 39 suspek termasuk sembilan individu yang terdiri daripada orang dikehendaki dalam kes jenayah seksual terhadap wanita dan kanak-kanak ditahan menerusi operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kelantan pada minggu lalu.

Op Kesan dan Op Mega Cantas yang berlangsung pada 3 hingga 7 September lalu menahan kesemua suspek termasuk dua orang wanita.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, sembilan suspek yang ditahan dalam Op Kesan bagi kes jenayah seksual terdiri daripada warga tempatan yang berada senarai orang dikehendaki.

Menurutnya, seramai 30 lagi suspek termasuk empat warga Indonesia bersama seorang wanita yang terlibat kes jenayah dicekup menerusi Op Mega Cantas.

“Kesemua suspek yang terlibat berusia dalam lingkungan 16 hingga 75 tahun. Daripada kesemua suspek yang ditahan, seramai 12 individu didapati positif dadah.

“Fokus utama Op Kesan adalah untuk menjejaki orang yang dikehendaki dalam kesalahan jenayah khususnya jenayah seksual terhadap wanita dan kanak-kanak. Op Mega Cantas pula menumpukan kepada kes-kes jenayah lain di Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Yusoff memberitahu, daripada sembilan suspek yang ditahan, terdapat individu disiasat mengikut Seksyen 376, 376 (B) kerana melakukan persetubuhan tanpa kerelaan dan persetubuhan dengan mahram.

Menurutnya, selain itu, mereka turut disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan/Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 kerana mendatangkan kecederaan dan Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

“Terdapat suspek yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana melakukan kesalahan mencabul kehormatan.

“Seramai 30 lagi suspek yang diberkas disiasat atas pelbagai kesalahan jenayah antaranya mendatangkan kecederaan, mencuri, pecah rumah, samun, dadah, ugutan, menceroboh kawasan, melanggar syarat permit masuk kecederaan negara ini, judi dan senjata api,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |