222 pelajar IPT dijangkiti HIV tahun lalu

7 hours ago 2

KUALA LUMPUR – Sebanyak 222 kes baharu jangkitan HIV dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) direkodkan tahun lalu, melibatkan golongan muda seawal usia 18 dan 19 tahun.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, angka tersebut menjadikan jumlah keseluruhan kes yang dicatatkan pada tahun lalu mencecah sebanyak 3,185 kes.

Beliau berkata, angka tersebut menunjukkan aktiviti-aktiviti penyalahgunaan dadah ataupun gejala seks yang menyebabkan jangkitan HIV telah pun berlangsung dengan lebih awal.

“Susulan itu, harm reduction (pengurangan kemudaratan) yang kita perkenalkan ketika ini adalah melalui penggunaan Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP) yang telah dilancarkan di beberapa buah fasiliti.

“Meskipun pelaksanaan PrEP ini menunjukkan satu kejayaan, apa yang menjadi satu permasalahan ketika ini adalah ekses kepada ujian ataupun ujian kendiri bagi remaja-remaja di bawah umur.

“Perkara itu kerana kerajaan tidak mempunyai satu perundangan khusus dan juga memerlukan kebenaran ibu bapa untuk menjalankan ujian kendiri serta mendapatkan rawatan dan perkara ini agak menyukarkan remaja-remaja yang ingin tampil ke hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar Persidangan Meja Bulat Media bagi Pengurangan Kemudaratan dari perspektif Kesihatan Awam, Ekonomi dan Agama Islam, di sini hari ini.

Sementara itu, Lukanisman berkata, kerajaan terbuka dengan pendekatan pengurangan kemudaratan dalam menangani masalah kesihatan seperti penyalahgunaan dadah, rokok dan penyakit seksual.

“Meskipun kaedah pengurangan kemudaratan bukan dasar utama ketika ini, namun ia kekal sebagai pilihan terbuka dalam strategi kesihatan awam yang lebih inklusif dan berfokus kepada pencegahan awal.

“Malah, konsep pengurangan kemudaratan turut digunakan oleh beberapa pusat rawatan penyalahgunaan dadah seperti Persatuan Pengasih Malaysia dan pertubuhan bukan kerajaan lain dalam program rawatan mereka,” katanya.

Sementara itu, Ketua Sektor HIV, STI dan Hepatitis C, Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan (KKM), Dr. Fazidah Yusman berkata, terdapat kira-kira 83, 937 individu yang hidup dengan HIV di seluruh negara setakat akhir tahun 2024.

Beliau berkata, daripada jumlah itu dianggarkan kira-kira 36 peratus lagi pesakit belum dapat dikesan atau mendapatkan rawatan.

“Justeru itu, kita sekarang terus memperluaskan aktiviti kesedaran dalam komuniti untuk mengesan individu yang hidup dengan HIV di negara ini.

“Kita juga ada kaedah penggunaan HIV ‘self-test’ iaitu kalau sesiapa yang berisiko dan masih tidak mahu tampil untuk saringan kesihatan, boleh dapatkan melalui Majlis AIDS Malaysia,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |