11,984 notis amaran trafik dikeluarkan sejak 6 September

2 hours ago 3

KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur mengeluarkan sebanyak 11,984 notis amaran kepada pengguna jalan raya yang melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas sejak Sejak 6 September lalu sehingga semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, notis berkenaan dikeluarkan sepanjang pelaksanaan Advokasi Operasi Patuh Undang-Undang (Op PUU) yang masih berjalan dan akan diteruskan dengan fasa operasi khas tidak lama lagi.

Beliau menjelaskan, Op PUU merupakan penambahbaikan tindakan penguatkuasaan sedia ada dengan pendekatan lebih menyeluruh serta berfokus.

Katanya, ini termasuk memberi pendidikan sosial dan kesedaran tentang kepentingan mematuhi undang-undang trafik.

“Antara kesalahan yang diberi penekanan termasuk pejalan kaki tidak menggunakan lintasan atau jejantas, pengguna jalan raya tidak mematuhi lampu isyarat dan membuat halangan lalu lintas.

“Selain itu, berhenti melepasi garisan putih, penunggang motosikal tidak memakai topi keledar serta penggunaan ekzos diubah suai,” katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.

Tambahnya, operasi tersebut akan menumpukan kawasan pusat bandar dan laluan berintensiti tinggi seperti Jalan Loke Yew, Jalan Bukit Bintang, Jalan Imbi, Jalan Sultan Ismail, Jalan Tun Razak dan Jalan Tunku Abdul Rahman selain lokasi panas dalam kawasan pentadbiran setiap Ibu Pejabat Polis Daerah.

Menurutnya, operasi itu akan melibatkan kekuatan penuh pegawai serta anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur dengan bantuan pelbagai jabatan lain termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Jabatan Alam Sekitar.

“Polis menyeru masyarakat agar memberikan kerjasama sepenuhnya terhadap pelaksanaan Op PUU dan mematuhi undang-undang demi keselamatan bersama serta kelancaran lalu lintas di ibu negara.

“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam melakukan kesalahan jalan raya,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |