Zara Qairina: Pendakwaan tetap teruskan kes Seksyen 507C

3 weeks ago 17

KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) tetap meneruskan pendakwaan terhadap lima remaja perempuan berusia bawah 18 tahun di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu, Sabah, esok berhubung kes buli Allahyarham pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar ketika dihubungi mengesahkan, pendakwaan akan diteruskan seperti biasa mengikut Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan (Pindaan 2025).

“Kita akan teruskan,” katanya.

Terdahulu peguam ibu arwah Zara Qairina memohon pendakwaan terhadap lima remaja yang terbabit dalam kes buli ditangguh sementara.

Ia berikutan mereka mendakwa pertuduhan yang dicadangkan terlalu ringan, tidak sepadan dengan tragedi yang berlaku dan mengelak ‘double jeopardy’ (seseorang tidak boleh dibicarakan atau dihukum dua kali atas kesalahan sama) dari digunapakai di masa hadapan.

Semalam, Mohd. Dusuki mengesahkan lima remaja perempuan dalam kes buli Zara Qairina akan didakwa pertuduhan mengugut dengan mengeluarkan perkataan mengancam.

Menurut beliau, pertuduhan terhadap remaja bawah umur itu akan dibuat mengikut Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan (pindaan 2025) yang mana seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan terbabit adalah berhubung menyebabkan gangguan, tekanan, ketakutan atau kebimbangan kepada seseorang yang berkemungkinan berasa terganggu, tertekan, takut atau cemas.

Seksyen berkenaan menyebut, sesiapa dengan apa cara atau melalui apa-apa kaedah, menggunakan atau membuat ugutan dengan mengeluarkan perkataan atau komunikasi bersifat mengancam, menghina atau mengaibkan, atau melakukan apa-apa perbuatan yang mengancam, menghina atau mengaibkan.

Beliau memaklumkan, lima remaja berusia bawah 18 tahun itu, akan didakwa ke mahkamah.

Sebelum ini, AGC memutuskan untuk menuduh beberapa suspek yang terlibat dalam kes buli Zara Qairina.

Tegasnya, keputusan untuk menuduh suspek bagi kesalahan buli berkenaan dibuat memandangkan pertuduhan tersebut tidak akan menggangu proses inkues yang akan berjalan.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar itu meninggal dunia 17 Julai lalu selepas sehari menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.

Mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama kira-kira pukul 3 pagi dan mengalami kecederaan parah sebelum dibawa ke hospital oleh pihak sekolah. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |