RIYADH – Ketegangan antara Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi berhubung masa depan Yemen semakin meningkat sekali gus berisiko mencetuskan perang saudara baharu di selatan negara itu, lapor akhbar The Guardian kelmarin.
UAE telah lama terlibat di Yemen berikutan sokongannya terhadap Majlis Peralihan Selatan (STC) yang berfahaman pemisah, manakala Arab Saudi pula sejak awal melihat negara tersebut sebagai kawasan pengaruhnya.
Dalam tempoh sebulan lalu, UAE didakwa melanggar beberapa ‘garisan merah’ yang sebelum ini dianggap tidak akan disentuh di Yemen, sehingga mendorong Arab Saudi mengebom kenderaan-kenderaan tentera di pelabuhan Mukalla.
Ketegangan memuncak kelmarin apabila gabungan ketenteraan pimpinan Arab Saudi yang menjadi penyokong utama kerajaan Yemen, menyerang satu penghantaran senjata dan kenderaan tempur yang didakwa dihantar dari UAE kepada kumpulan pemisah.
Namun, Abu Dhabi menafikan perkara tersebut.
“Kerajaan menegaskan bahawa sebarang ancaman terhadap keselamatan negara adalah garis merah dan kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil semua langkah termasuk tindakan yang perlu bagi menghadapi serta menangkis sebarang ancaman sedemikian,” kata Riyadh.
UAE kemudian mengumumkan bahawa baki tenteranya akan meninggalkan Yemen, manakala jurucakap STC berikrar bahawa kumpulan pemisah akan terus mempertahankan kedudukan mereka.
Yemen telah dilanda perang sejak pemberontak Houthi yang disokong Iran menggulingkan kerajaan negara tersebut pada 2014, sekali gus mencetuskan campur tangan ketenteraan yang diterajui Arab Saudi.
“Kebuntuan ini berisiko menggugat gencatan senjata rapuh Yemen yang telah bertahan selama tiga setengah tahun,” tulis felo kanan di Institut Washington, Amerika Syarikat (AS), April Longley Alley dalam satu analisis.
“Ia juga berkemungkinan menambah tekanan terhadap hubungan antara sekutu utama (AS) iaitu Arab Saudi dan UAE,” tambahnya. – AFP/AGENSI

2 weeks ago
19

![[VIDEO] Rupa-rupanya dia nak jadikan bumi Anbiya itu rumahnya – Suami Nadia Kesuma](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/01/Tangkap-layar-video-Muhammad-Kamarul-tengah-bersama-pihak-Nuh-Travel-semasa-di-KLIA-Sepang-sebelum-berlepas-ke-Jeddah-petang-tadi..jpeg)












































