Lek Khang selamat jalani pembedahan

1 hour ago 2

JOHOR BAHRU – Bekas Ketua Bersekutu Bersatu Johor, Datuk Tan Lek Khang selesai menjalani pembedahan di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, malam tadi dan kini dilaporkan berada dalam proses pemulihan.

Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Lek Khang masih belum boleh dilawati sesiapa termasuk ahli keluarga terdekat kerana masih berada dalam fasa pemulihan.

“Buat masa ini, beliau dalam ‘recovery period’. Jadi, kita tunggu sampai beliau sudah keluar (dewan bedah), masuk ICU (Unit Rawatan Rapi) baharu boleh lawatan dibuat dan ketika itu baharu kita tahu keadaan sebenar beliau.

“Pembedahan sudah selesai, baharu lepas. Disebabkan beliau sahabat saya, saya akan tunggu dan melihat keadaannya,” katanya ketika diminta mengulas mengenai keadaan Lek Khang.

Hamzah yang juga Bekas Timbalan Presiden Bersatu itu tiba di HSI kira-kira pukul 11.25 malam bersama beberapa pemimpin politik antaranya Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau meluangkan masa lebih satu jam di hospital sebelum beredar selepas tidak dapat bertemu Lek Khang yang ketika itu masih di dewan pembedahan.

Sementara itu, Hamzah mengakui terkejut menerima berita mengenai insiden yang menimpa Lek Khang dan mahu mendapatkan laporan rasmi daripada pihak polis sebelum membuat sebarang andaian.

“Sudah tentulah saya terkejut. Sebagai seorang sahabat, saya melihat apa yang berlaku ini, kita sendiri tidak tahu sebab apa dan sebagainya.

“Jadi, saya kena tunggu dan saya juga mahu dapatkan laporan polis terlebih dahulu,” katanya.

Terdahulu, Lek Khang dilaporkan parah selepas dipercayai tertembak diri sendiri, dalam kejadian petang semalam.

Insiden itu dipercayai berlaku ketika beliau sedang mengadakan sesi latihan menembak di sebuah pusat latihan menembak di Kota Tinggi.

Sehingga kini, pihak polis masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung insiden terbabit, bagaimanapun, ia mungkin akan dimaklumkan oleh Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad dalam sidang media yang sebelum ini memang dijadualkan berlangsung di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada jam 11 pagi nanti.

Pada 13 Februari lalu, Lek Khang mengumumkan peletakan jawatan serta keluar daripada Bersatu berkuat kuasa serta merta susulan sudah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022, Lek Khang menjadi calon mewakili Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekok, namun tewas kepada Barisan Nasional (BN).-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |