Capacity Building pacu kemajuan syarikat bumiputera lebih berdaya saing

2 hours ago 3

PETALING JAYA – Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas)  melancarkan Capacity Building, sebuah program pemangkin yang memberi tumpuan kepada pengukuhan asas perniagaan kritikal bagi syarikat bumiputera berpotensi tinggi dalam segmen pasaran pertengahan rendah.

Program ini dirangka untuk mempercepatkan kemajuan syarikat agar menjadi lebih berdaya saing dan berdaya tahan melalui model penciptaan nilai.

Pada masa yang sama, ia mempersiapkan syarikat untuk menarik dan memanfaatkan peluang pelaburan yang tersedia di pasaran.

Capacity Building adalah  tonggak ketiga dalam strategi pelbagai aset Ekuinas,
melengkapi portfolio ekuiti persendirian dan kredit persendirian yang sedia ada.

Program dalaman ini akan memilih sehingga tiga syarikat setiap tahun.

Untuk menyertai program ini, syarikat perlu memenuhi kriteria yang ketat, termasuk mempunyai pendapatan tahunan antara RM15 juta hingga RM50 juta, serta rekod operasi yang terbukti.

Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas, Aliff Omar Mohamad Omar berkata, segmen
pasaran pertengahan rendah di Malaysia adalah luas dan potensinya besar.

“Namun banyak syarikat berhadapan kekangan struktur seperti halangan operasi sehinggalah jurang dalam tadbir urus dan keupayaan pelaksanaan yang membendung usaha dalam mengembangkan syarikat.

“Capacity Building mencerminkan komitmen kami untuk menangani jurang ini secara berstruktur dan bermakna.

“Sebagai tonggak strategik ketiga Ekuinas, program ini berteraskan
pengukuhan kepimpinan serta memudahkan akses kepada modal, disokong oleh pendekatan penciptaan nilai yang tersasar bagi meningkatkan daya tahan operasi dan kesiapsiagaan pertumbuhan.

“Matlamat kami adalah untuk memastikan syarikat yang menyertai program ini bersedia untuk memperoleh pelaburan, lantas membuka akses kepada modal dan mampu berkembang ke pasaran baharu,” katanya dalam kenyataan.

Kopi Hang Tuah merupakan syarikat pertama yang dipilih untuk menyertai program ini dan seiring segmen kopi di Malaysia terus menunjukkan pertumbuhan yang berdaya tahan, didorong oleh permintaan kukuh terhadap produk yang mampu milik dan mudah didapati.

Dalam hal ini, Kopi Hang Tuah menonjol sebagai jenama warisan dengan rekod prestasi yang terbukti, penawaran produk yang unik serta asas bakat yang kukuh.

Kopi Hang Tuah beroperasi terutamanya melalui model pengedaran perniagaan ke perniagaan (B2B) dan telah membina kehadiran yang kukuh di seluruh negara merentasi saluran perdagangan moden, disokong oleh beberapa pusat pengedaran serantau.

Penawaran produk terasnya, terutamanya dalam segmen kopi-O
tradisional, telah berjaya membina pangkalan pelanggan yang setia sejak
penubuhannya.

Program Capacity Building Ekuinas berteraskan penciptaan nilai yang merangkumi semakan menyeluruh perniagaan meliputi enam bidang utama iaitu strategi, kewangan, sumber manusia, jualan dan pemasaran, operasi, serta pematuhan kawal selia, dalam tempoh tiga tahun.

Program ini melibatkan kerjasama rapat dengan pihak pengurusan serta intervensi bersasar bagi meningkatkan disiplin operasi, keberkesanan organisasi dan kepimpinan, disokong oleh inisiatif pemadanan pelabur dan pengukuhan akses kepada ekosistem pelaburan bagi meningkatkan kesiapsiagaan syarikat untuk memperoleh pelaburan dan akses
kepada modal. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |