UCL: Atletico harapkan tuah beraksi di laman sendiri

1 hour ago 2

MADRID – Pengendali Atletico Madrid, Diego Simeone mengakui pasukan berdepan cabaran sukar dalam misi layak ke final Liga Juara-Juara (UCL) apabila bertemu dengan Arsenal yang dianggap pilihan di peringkat separuh akhir kali ini.

Sebagai rekod, Atletico terdesak untuk menjulang trofi UCL buat kali pertama dalam sejarah selepas masih dihantui kekecewaan apabila tewas dalam dua final sebelum ini kepada musuh tradisi, Real Madrid pada edisi 2014 dan 2016.

Lebih malang, prestasi skuad Los Rojiblancos juga tidak begitu konsisten ketika ini apabila mereka tumbang dalam final Piala Raja Sepanyol kepada Real Sociedad, minggu lalu.

Simeone berharap kelebihan beraksi di laman sendiri pada aksi pertama dapat dimanfaatkan oleh pasukan untuk membawa bekalan penting sebelum ke Stadium Emirates, minggu depan.

“Penyokong tidak perlukan kata-kata atau janji daripada saya kerana mereka hanya mahukan kemenangan.

“Harus diakui Atletico agak bergelut dalam saingan UCL kerana kita jarang layak ke separuh akhir atau ke pentas final. Namun, sekarang peluang pasukan kembali terbuka.

“Saya harap pemain terus bekerja keras untuk menyalakan misi pasukan dan kami perlu semua berada pada tahap terbaik,” katanya.

Selepas hanya mencatat dua kemenangan dalam sembilan perlawanan terakhir, Atletico akhirnya kembali meraih tonik kemenangan apabila menewaskan Athletic Bilbao 3-2, Sabtu lalu.

Pemain sensasi Atletico, Antoinne Griezmann mengakui keputusan yang diraih meringankan tekanan pasukan untuk memberikan tentangan kepada The Gunners nanti.

“Ini perlawanan yang sangat penting dan saya mahu kami kekal tenang dan percaya mampu lakukannya (mara ke final).

“Saya mahu berikan sesuatu yang luar biasa kepada penyokong sebelum saya pergi,” kata Griezmann yang akan berhijrah ke Orlando City selepas musim ini berakhir. – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |