PETALING JAYA – Seorang peniaga kosmetik tampil meminta seorang lelaki yang didakwa mencuri barangan di kedainya supaya tampil membuat bayaran sebelum laporan polis dibuat berhubung kejadian itu.
Pemilik tersebut, Isma Zain menerusi hantaran di Facebook mendakwa, lelaki berkenaan yang memakai ‘t-shirt’ berserta topi hitam telah mengambil barangan dari kedainya di Lumut, Perak pada malam sambutan Ambang Tahun Baharu.
Menurutnya, kejadian itu turut dirakam menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dan bukti berkenaan berada dalam simpanannya.
“Saya pemilik Aryana kosmetik. Saya mencari dan sesiapa sahaja mengenali lelaki yang memakai topi hitam di dalam video. Info pada dia, sila datang bayar barang yang dia ambil dekat kedai saya di Lumut pada malam tahun baharu.
“Saya mempunyai bukti kukuh. Kalau tak hadir, laporan polis akan dibuat berserta bukti,” katanya.
Isma turut memaklumkan, dia sanggup menawarkan sejumlah wang kepada mana-mana individu yang dapat membantu membawa lelaki terbabit tampil bertemunya.
Dalam hantaran sama, dia mendakwa suspek hadir bersama dua atau tiga rakan kononnya untuk membeli barangan, namun tindak-tanduk lelaki itu mencurigakan sehingga perbuatannya terbongkar.
“Dia datang kawan dua tiga orang buat kerja, tapi kantoi sebab pencuri ini tindak-tanduk lain daripada orang yang betul-betul nak beli,” jelasnya.
Hantaran berkenaan mendapat pelbagai reaksi daripada netizen dan ramai mengecam tindakan lelaki terbabit kerana secara fizikalnya nampak sihat, namun sanggup mencuri.
“Kalau tak ada duit tak perlu la pijak kaki ke tampat-tempat jualan ni. Nanti ada yang berkenan, tapi tak ada duit nak beli, dah nak mencuri. Kena tangkap, duduk ‘dalam’ kau kerana barang tak sampai RM50,” komen Farah Wahidah.
“Macam bergeng-geng pula baju hitam tu. ‘Cover line’ lepas itu yang seorang rembat (mencuri),” kata Nooraziemah Aziz.
“Ada juga perangai macam itu,” kata Aswah. – KOSMO! ONLINE

2 weeks ago
22

![[VIDEO] Rupa-rupanya dia nak jadikan bumi Anbiya itu rumahnya – Suami Nadia Kesuma](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/01/Tangkap-layar-video-Muhammad-Kamarul-tengah-bersama-pihak-Nuh-Travel-semasa-di-KLIA-Sepang-sebelum-berlepas-ke-Jeddah-petang-tadi..jpeg)












































