[VIDEO] ‘Paih, anok-anok tak dok doh kak’

3 weeks ago 18

PETALING JAYA – “Paih tak dok dah kak (Faiz sudah tiada dah kak), anok-anok ore pong tak dok doh kak (anak-anak orang pun sudah tiada kak),”

Demikianlah rintihan Tuan Nor Syuhada Mohd Zain, 23, apabila kehilangan suami dan dua orang anak lelakinya dalam kemalangan di Kilometer 34, Felda Chiku 1, dekat Gua Musang, 11 Ogos lalu.

Rintihan itu dibuat apabila kumpulan Honda Civic Family Club menziarahi Tuan Nor Syuhada bagi menyerahkan sumbangan wang tunai di Hospital Gua Musang.

Menerusi video yang dimuat naik salah seorang ahli kumpulan tersebut di akaun TikTok @kakak_moss94 kelihatan Tuan Nor Syuhada tidak berdaya kerana kecederaan parah dialaminya.

Bagaimanapun, dia sempat meluahkan bahawa kehilangan suami dan dua anak lelakinya itu merupakan dugaan berat dialaminya saat itu.

Sehubungan itu, rakan-rakan yang hadir memberikan kata-kata semangat buat Syuhada agar dia tidak berputus asa untuk meneruskan kehidupan selepas ini.

“Adda (Syuhada) kena kuat semangat, Adda tidak boleh lemah.. Nanti Syuhada sihat mama akan bawak Syuhada pergi kubur Faiz dan anak-anak,” kata wanita yang menziarahi Syuhada.

Difahamkan, Tuan Nor Syuhada baru sahaja sedar dan boleh bercakap setelah menjalani pembedahan selain sempat menyentuh serta menatap kali terakhir jenazah dua anak serta suaminya.

Tuan Nor Syuhada sebelum ini disahkan kritikal dan patah beberapa bahagian badan termasuk rahang dan tulang rusuk akibat kemalangan itu.

Kos pembedahan yang besar membuatkan ramai ingin menyalurkan sumbangan buat ibu kepada dua anak itu bagi menampung perbelanjaan hospital.

Sementara itu Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati ramai yang menzahirkan ucapan takziah dan doa agar Tuan Nor Syuhada diberi kekuatan untuk menghadapi ujian tersebut.

“Ya Allah. Semoga akak cepat sembuh dan semoga akak kuat hadapi semua ujian ini. Al fatihah untuk suami dan anak-anak,” komen Irah Sofea.

“Ya Allah sedihnya dia dah tahu suami dan anak-anak dah tiada. Moga dipermudahkan segala urusan dan sembuh seperti sedia kala,” komen Mamaizan.

Media sebelum ini melaporkan empat sekeluarga maut dalam kemalangan dengan sebuah treler di Gua Musang.

Kesemua mangsa yang maut selesai dikebumikan dalam satu liang lahad kira-kira pukul 12 tengah malam Isnin lalu.

Dalam kemalangan tersebut, suami Tuan Nor Syuhada Muhammad Faiz Nor Amran, 31, dua anak lelakinya, Muhammad Aryan Fattah Abdul Qayyum, 5 dan Muhammad Aydan Fattah, 4, serta adik iparnya Nor Aina Imra, 21, disahkan maut di lokasi kejadian. – KOSMO! ONLINE

@longrepro30_tokanekAl fatihah shbat..

♬ bunyi asal – Longrepro

Read Entire Article
Pertanian | | | |