[VIDEO] ‘Adik kuat tau, doakan ibu masuk syurga’

11 hours ago 6

PETALING JAYA – Orang ramai sayu melihat wajah sugul seorang bapa sedang mendukung anak kecil bersama anak-anak yang lain sewaktu proses kafan jenazah isterinya yang maut akibat nahas di Jalan Pelabuhan Barat, Klang serta tular, baru-baru ini.

Video dimuat naik pada Instagram pengurusan jenazah Mr Wan Cai Official memperlihatkan petugas wanita sedang menyempurnakan proses kafan jenazah isteri lelaki tersebut.

Kelihatan lelaki itu dengan wajah sugul sedang mendukung anak lelakinya yang masih kecil, manakala seorang anak perempuannya menutup muka sedang menangis dan seorang lagi dilihat tenang sepanjang proses berkenaan.

“Menyaksikan pemergian insan tercinta di hadapan mata merupakan suatu ujian amat berat, tidak mudah diterima oleh sesiapa. Kehilangan sebegini meninggalkan ruang hiba yang dalam, sukar diungkap dengan bicara.

“Semoga suami dan anak-anak dikurniakan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi saat-saat sukar. Pemergian isteri tercinta pastinya satu kehilangan besar bukan sahaja sebagai teman hidup, tetapi juga sebagai peneman jiwa dan penguat semangat.

“Sesungguhnya, setiap yang hidup pasti akan kembali kepada-Nya. Namun beratnya kehilangan itu, hanya yang merasai mampu mengerti,” tulis Mr Wan Cai Official pada hantaran berkenaan.

Berdasarkan ruangan komen, pasangan suami isteri itu mempunyai empat anak dengan dua daripadanya berusia 15 dan 10 tahun, manakala dua lagi tidak diketahui usia mereka.

Dalam pada itu, orang ramai bersimpati dengan keluarga tersebut selain bimbang dengan keadaan seorang anak perempuanya yang berusia 10 tahun itu apabila dia menyaksikan kejadian menimpa ibunya.

“Tolong jangan biar adik ni sendiri. Trauma dia saksi depan mata, sampai driver lori pun peluk dia. Driver lori pun tak salah sebab memang itu laluan titik buta lori tu. Al-Fatihah,” komen pengguna Facebook Aien Al-hadad.

“Pak cik lori tu pun menangis, nak buat macam mana. Ajal dia kat situ kan. Semoga adik ni sihat, pasti dia trauma depan mata dia kot. Pak cik tu pun mesti trauma dengan apa yang jadi. Kita yang tengok ni pun rasa nak jatuh jantung dah. Al-Fatihah untuk arwah,” kata Umi Norazlina.

“Semoga dikurniakan kekuatan pada suami dan anak-anak arwah. Semoga dipermudah urusan arwah, ditempatkan bersama orang-orang beriman. Kehilangan tak menunggu kesediaan kita. Ia cuma menanti masa yang tepat bagi Allah untuk menjemput kita,” komen pengguna Facebook Masaniza Ibrahim.

“Sabar adik, kuat tau. Tak mampu bayangkan perasaan sakit, trauma bila adik melihat sendiri kejadian depan mata. Doakan ibu awak masuk ke syurga tanpa hisab insya-Allah,” kata Nur Hidayah.

Kelmarin, Kosmo! melaporkan tindakan penunggang motosikal ‘menyelit’ beberapa buah kenderaan berat mengundang tragedi apabila isterinya maut digilis treler di Jalan Pelabuhan Barat, Klang.

Kejadian berlaku kira-kira 1.20 tengah hari dengan mangsa merupakan warga Indonesia meninggal dunia di lokasi kejadian.

Kemalangan tragis tersebut tular di media sosial menerusi video berdurasi satu minit 30 saat dengan turut memaparkan detik mangsa digilis treler. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |