PETALING JAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dinasihati oleh pakar perubatan untuk tidak menjalani pembedahan pinggul susulan keadaan kesihatannya selepas terjatuh di kediamannya baru-baru ini.
Perkara itu dimaklumkan anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang berkata, Dr. Mahathir patah tulang pinggul selepas terjatuh ketika melakukan ‘brief walk’ iaitu senaman rutin yang lazim dilakukannya setiap pagi.
Menurut Mukhriz, hasil pemeriksaan di Institut Jantung Negara (IJN) mendapati faktor usia Dr. Mahathir yang kini mencecah 100 tahun menyebabkan pembedahan bukan pilihan terbaik.
“Oleh kerana keadaan kesihatan beliau, maka tentulah dia kena ambil masa sedikit. Itu pun lebih kurang dua hingga tiga minggu juga untuk berehat kerana faktor usia mencecah 100 tahun, maka pembedahan bukanlah satu pilihan yang baik.
“Kita telah dinasihatkan oleh pakar-pakar (perubatan) untuk beliau (Dr. Mahathir) melalui satu proses pemulihan yang biasa yang akan memakan masa sedikit,” katanya menerusi satu rakaman video hari ini.
Mukhriz berkata, rawatan pemulihan itu bertujuan memastikan bapanya kembali sihat seperti sediakala dan dapat meneruskan tugasan seperti yang dilakukan selama ini.
Dalam pada itu, beliau
merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang tidak putus-putus mendoakan kesihatan bapanya.
“Saya menerima banyak mesej, bukan sahaja daripada rakan-rakan, malah individu saya tidak kenali, termasuk kepada ahli-ahli keluarga kami yang mendoakan kesihatan beliau,” ujarnya.
Mukhriz turut memohon orang ramai supaya memberi ruang dan masa kepada Dr. Mahathir untuk berehat sepenuhnya sehingga pulih.
“Pada waktu sama saya mohon kepada semua biarlah Dr. Mahathir untuk berehat dan betul-betul pulih dan sembuh sepenuhnya.
“Ia akan memakan masa jadi bagilah beliau masa sikit untuk betul-betul kembali sihat supaya boleh bersama kita dalam perjuangan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

1 day ago
7
![[VIDEO] ‘Sudah tahu tidak muat, nak juga parkir’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/01/WhatsApp-Image-2026-01-08-at-20.29.48.jpeg)
















































