JASIN – Tiga individu termasuk seorang wanita muda diberkas polis selepas dipercayai memiliki senjata api dan peluru tanpa lesen di sebuah rumah di Bemban, di sini, semalam.
Dalam serbuan kira-kira pukul 5.30 petang itu, dua lelaki yang ditahan masing-masing berusia 54 dan 45 tahun, manakala wanita terlibat berusia 22 tahun, yang juga merupakan anak saudara kepada salah seorang suspek lelaki.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata, serbuan itu dijalankan hasil risikan oleh pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin.
Menurutnya, pemeriksaan di lokasi menemui satu senjata api bersama beberapa jenis peluru yang diletakkan di atas meja di bawah garaj dalam kawasan rumah berkenaan.
“Susulan penemuan itu, ketiga-tiga suspek ditahan kerana disyaki memiliki senjata api dan peluru tanpa lesen atau permit yang sah.
“Hasil soal siasat, suspek lelaki berusia 54 tahun mempunyai hubungan kekeluargaan dengan wanita terbabit iaitu sebagai bapa saudara, manakala lelaki berusia 45 tahun pula adalah rakannya,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Tambahnya, semakan rekod lampau mendapati, kedua-dua suspek lelaki masing-masing mempunyai tiga dan tujuh rekod kesalahan jenayah serta dadah.
“Antara barangan yang dirampas dalam serbuan itu ialah satu unit UDI senjata api jenis shot gun berwarna coklat, satu unit penghadang tangan senjata api, satu unit tali pinggang peluru dan satu unit sarung senjata api.
“Selain itu adalah 10 butir kelongsong peluru jenis 12 bore berwarna putih serta beberapa butir kelongsong peluru 12 bore berwarna merah, hijau dan coklat,” ujarnya.
Katanya, ketiga-tiga suspek kini direman selama tiga hari sehingga 7 Januari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

1 day ago
8
















































