Terkejut Zizan ‘bank-in’, ingatkan scammer

11 hours ago 5

PETALING JAYA – Seorang peniaga kek terkejut apabila menerima pemindahan wang daripada pelakon dan pelawak terkenal, Zizan Razak ketika sedang sibuk membuat siaran langsung menjual kek.

Menerusi satu perkongsian di laman Threads, wanita dikenali sebagai Arinah Ahmad memberitahu, kejadian berlaku sekitar pukul 2 pagi ketika dia sedang menyiapkan kek ditempah pelanggan.

Menurutnya, dia pada mulanya menyangka akaun tertera nama Mohd Zizan bin Razak itu adalah ‘scammer’.

“Saya buat ‘live’ TikTok sambil melapis kek. Tidak ramai yang menonton, cuma sekitar lapan hingga 10 orang sahaja. Tiba-tiba, akaun Zizan Razak masuk dan komen ‘Hai. ‘Sale’ (jualan) berapa hari ni?’

“Saya membalas seperti biasa tetapi memang ingat ia hanyalah akaun palsu. Tak lama kemudian, dia minta nombor akaun dan kata mahu beri sokongan. Saya dan suami agak curiga dan menyangka ia mungkin ‘scammer’, namun akhirnya saya tetap berikan kod QR,” katanya.

Bagaimanapun, Arinah terkejut apabila menerima notifikasi pemindahan wang daripada akaun bank atas nama Mohd Zizan bin Razak.

“Dia kata, dia tersentuh melihat orang yang masih bekerja hingga lewat malam dan mahu memberi sokongan. Dia juga ucap terima kasih kerana izinkan dia bersedekah kerana Allah,” ujarnya.

Menurut Arinah, dia kini dalam usaha mencari surau atau masjid yang menganjurkan program kebajikan bagi menyalurkan kembali wang sumbangan tersebut.

Sementara itu, tinjauan di ruangan komen mendapati ramai netizen memuji tindakan Zizan yang disifatkan sebagai pemurah dan berhati mulia.

“Dah la kacak, baik hati, tak sombong, dermawan pula.. semoga yang baik-baik saja buat abang Zizan,” kata Filza Atikah.

“Alhamdulillah, rezeki takkan pernah salah alamat. Walaupun ‘view’ (tontonan) ada tak meriah, masih ada yang support.. jalan terus ya.. moga Zizan makin murah rezeki,” kata seorang pengguna.

“Asbab anak tidur lewat, ibu penat, tetapi Allah beri berita gembira,” komen Nuranis Shaufa. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |