Terkejut MyKad kena klon, siap ada rekod belian iPhone 16 Promax

1 week ago 12

PETALING JAYA – Seorang lelaki terkejut apabila mendapati terdapat rekod pembelian iPhone 16 Promax 1 TB di sebuah kedai di Cheras menerusi pembiayaan pinjaman sebuah syarikat pinjaman berlesen menggunakan MyKad miliknya yang diklon.

Mohamad Hafis Aliaziz berkata, perbuatan itu dapat dikesan ketika dia mahu menyemak jumlah mata ganjaran oleh syarikat berkenaan menerusi aplikasi.

“Aku tahu MyKad kena klon ni bila aku semak dalam aplikasi, tiba-tiba ada pinjaman beli Iphone 16 Promax 1 TB lebih RM14,000.

“Tahun 2013, aku pernah hilang MyKad bila rumah kena masuk pencuri. Dompet dan telefon hilang. Jadi aku ada buat laporan tentang kes tu dulu,” katanya menerusi media sosial.

Namun katanya, kisah itu muncul kembali apabila terdapat penggunaan MyKad miliknya tetapi dengan wajah orang lain.

“Orang tu dah ‘tepek’ gambar dia di MyKad aku dan guna untuk beli IPhone 16 Promax 1 TB di sebuah kedai di Cheras secara pembiayaan pinjaman.

“Lepas aku buat laporan dekat kedai dan syarikat terbabit, terkejut (mereka) tengok gambar MyKad aku berwajah orang lain,” ujarnya.

Menurut Mohamad Hafis, selain dua laporan polis, aduan ke Jabatan Pendaftaran Negara turut dibuat sebagai perlindungan diri dan tiada lagi penyalahgunaan MyKad miliknya.

“Mengikut polis, kes macam ni susah nak ambil tindakan sebab mereka pun tak tahu dekat mana orang tu berada.

“Tak tenang hidup aku macam ni. Mana tahu esok-esok dia buat benda bukan-bukan dengan MyKad aku tu,” tambahnya.

Dalam masa sama, Mohamad Hafis turut berkongsikan rakaman televisyen litar tertutup bersama hantarannya itu.

“Kalau kau orang ada maklumat mengenai orang ni, tolong laporkan atau boleh mesej aku di 013-3153886.

“Lokasi kedai pembelian iPhone tu di Cheras. Jadi aku rasa orang tu duduk kawasan situ juga,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |