SEPANG – “Terima kasih, syukur alhamdulillah selamat sampai. Terima kasih rakyat Malaysia menyumbang kepada kami,” kata Ahmad Fauzi Abd. Rahman, 58, wakil daripada 36 jemaah umrah Malaysia terkandas di Madinah.
Ahmad Fauzi bersama jemaah tersebut termasuk 11 kanak-kanak dan seorang warga emas berkerusi roda, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 pukul 10.45 pagi hari ini dari Jeddah, Arab Saudi.
Berkongsi perasaannya, bapa kepada lapan anak itu berkata, kesemua jemaah dalam keadaan sihat dan mereka sudah ternanti-nanti untuk pulang ke tanah air selepas menempuh pelbagai ujian di sana.
“Alhamdulillah, mendarat sampai hari ini (semalam). Ribuan terima kasih kepada semua penyumbang, pihak yang bertungkus lumus, termasuk individu dan agensi terlibat.
“Persatuan mutawif di Madinah, Ustaz Abu Adam, Ustaz Mukram Faiz, pihak Kosmo!, Puan Avaa Vanja, KRS Travel, Tuan Abu Hannan, Tuan Afiz Ayub, Tuan Shah dan isteri, Puan Yasmin selain yang membantu secara langsung atau tak langsung,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, Ahmad Fauzi berkata, mereka telah melaporkan perkara itu kepada pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya sebaik sahaja tiba di KLIA Terminal 2 hari ini.
Katanya, mereka juga akan melaporkan perkara tersebut kepada polis dalam masa terdekat.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan, seramai 36 jemaah umrah termasuk 11 kanak-kanak dan seorang warga emas berkerusi roda hidup seperti nomad apabila dikatakan terpaksa berpindah-randah hotel di Mekah dan Madinah beberapa kali, berikutan pihak agensi didakwa gagal membuat tempatan awal.
Bahkan, lima daripada jemaah itu yang sepatutnya kembali ke Malaysia 30 Disember, tidak dapat berbuat demikian berikutan tiket didakwa belum ditempah oleh pihak agensi, manakala baki yang lain pulang ke tanah air pada 3 Januari juga belum mendapat tiket tersebut.
Berikutan itu, pelbagai pihak turut menghulurkan bantuan termasuk pelakon, Avaa Vanja yang juga mutawifah serta berada di Madinah bertemu jemaah untuk urusan kepulangan mereka.
Malah, sumbangan turut dibuka bagi membantu pembelian tiket penerbangan pulang ke Malaysia, sebelum ia ditutup selepas jumlah itu mencukupi untuk membawa pulang semua jemaah ke tanah air. – KOSMO! ONLINE

1 day ago
6

















































