KUALA LUMPUR – Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMM 2026) secara rasminya membuka tirai tepat pukul 12 tengah malam.
Majlis perasmian VMM 2026 itu dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di pekarangan pusat beli belah Pavilion Bukit Bintang sebentar tadi.
Hadir sama pada majlis perasmian tersebut adalah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.
Majlis perasmian VMM 2026 itu juga turut diadakan di seluruh negara secara serentak di beberapa lokasi antaranya Putrajaya dan Melaka.
King Sing dalam satu kenyataan berkata, sambutan itu menjadi simbolik penting bagi menyemarakkan momentum kempen TMM2026 serta membuka lembaran baharu untuk mempromosikan Malaysia di pentas global.
“Malaysia kini bersedia sepenuhnya untuk mempamerkan budaya, kreativiti dan keramahan rakyatnya, dengan sasaran 43 juta ketibaan pelawat antarabangsa,” katanya.
Majlis perasmian itu juga turut diserikan dengan nyayian barisan artis tempatan terkenal antaranya Shila Amzah, Aina Abdul, Belle Sisoski dan Aina Abdul, selain persembahan kebudayaan yang menggabungkan elemen tradisional dan moden.
Sambutan itu turut diserikan dengan persembahan multimedia berskala besar termasuk pertunjukan bunga api pyromusikal, formasi dron, pancaran laser serta paparan 3D anamorfik yang menampilkan maskot rasmi TMM2026, Wira dan Manja.
Kempen TMM2026 digerakkan berteraskan lima tonggak utama iaitu kelestarian, warisan budaya, pengembaraan berasaskan alam semula jadi, inovasi digital dan keterhubungan global, sebagai persediaan menyeluruh Malaysia menyambut kedatangan pelancong sepanjang 2026.
Penganjuran festival itu disokong oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Tourism Malaysia, selain kerjasama pelbagai agensi kebudayaan dan pelancongan negara, sekali gus mengukuhkan kesiapsiagaan Malaysia untuk menyambut dunia pada tahun hadapan.-KOSMO! ONLINE

2 hours ago
4

















































