PUTRAJAYA – Kemasukan kanak-kanak berusia enam tahun ke tahun satu bukan bersifat wajib dan hanya melibatkan ibu bapa serta anak-anak yang benar-benar bersedia.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, aspek kesediaan psikologi dan emosi kanak-kanak menjadi keutamaan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi mengelakkan sebarang kesan negatif terhadap perkembangan awal murid.
“Kita galakkan hanya kepada ibu bapa yang bersedia. Paling penting, anak itu sendiri mesti bersedia. Kalau anak tidak bersedia dari segi psikoemosi, kita tidak mahu ada impak kepada mereka,” katanya menerusi sesi penerangan kepada media selepas Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan bermula tahun hadapan, pendidikan prasekolah akan bermula pada usia lima tahun, sementara tahun satu pula bermula pada usia enam tahun.
Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun beliau menjelaskan perubahan masih belum diwajibkan kepada ibu bapa bagi memberi ruang kepada pelbagai pihak bersedia kepada persekitaran baharu pendidikan, khususnya warga pendidik.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, ibu bapa memainkan peranan penting untuk mengenal pasti tahap kesediaan anak masing-masing sebelum membuat sebarang keputusan, manakala KPM akan menyediakan ujian diagnostik sebagai sistem sokongan bagi menilai tahap kebolehan dan kesediaan murid.
“Sebab itu kita tekankan, ibu bapa perlu kenal pasti dahulu. KPM pula akan melaksanakan ujian diagnostik untuk melihat kesediaan anak-anak ini,” ujarnya.
Mengulas kebimbangan kemungkinan berlaku lambakan murid dan isu prasarana sekolah, Fadhlina berkata, pelaksanaan akan dibuat secara berperingkat dengan mendahulukan kanak-kanak yang benar-benar bersedia.
“Penyelesaiannya ialah kita mulakan dengan yang bersedia dahulu. Daripada data yang kita kumpul, barulah kita boleh susun persiapan termasuk prasarana,” katanya.
Beliau menjelaskan, kohort sedia ada murid berusia tujuh tahun akan diteruskan seperti biasa, manakala penambahan murid enam tahun ke Tahun Satu akan dibuat berdasarkan data dan kesiapsiagaan sekolah.
Sehubungan itu, Fadhlina berkata, KPM akan mengumumkan garis masa pelaksanaan bagi membolehkan ibu bapa membuat keputusan secara teliti. – KOSMO! ONLINE

3 hours ago
3

















































