PETALING JAYA – Pihak berkuasa digesa untuk tidak lagi bertolak ansur dengan syarikat atau operator pengangkutan yang cuai, sebaliknya mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka setiap kali berlaku kemalangan maut atau kecederaan serius membabitkan kenderaan komersial.
Aktivis keselamatan jalan raya dan pengangkutan mampan, Shahrim Tamrin berkata, sehingga kini rekod menunjukkan tiada syarikat pengangkutan pernah diheret ke mahkamah atas tuduhan kecuaian sejak era Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sehinggalah kini di bawah seliaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Sejak 2008, saya kerap bertanya kepada LPKP, SPAD, Polis Diraja Malaysia dan JPJ berhubung rekod pendakwaan syarikat pengangkutan atau pengarah mereka selepas kemalangan maut berlaku, namun jawapannya mengejutkan, jumlah pendakwaan adalah sifar.
“Malah, dua nahas besar yang meragut banyak nyawa iaitu tragedi 37 maut di Genting Highlands pada Ogos 2013 serta kemalangan bas persiaran di Gerik yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) empat bulan lalu juga tidak menyaksikan mana-mana operator dihadapkan ke mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Shahrim yang juga bekas Ahli Lembaga Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros) berkata, isu itu semakin mendesak selepas negara dikejutkan dengan dua tragedi dalam tempoh 48 jam lalu.
“Pada Sabtu lalu, seorang bayi lelaki berusia setahun, Amir Husayn Amirul Ridzuan maut selepas sebuah lori merempuh tiga kenderaan di Plaza Tol Kajang, Selangor.
“Manakala semalam pula, sebuah lori treler merempuh enam kenderaan di hadapan Masjid Sabak Uni, Jalan Kluang – Batu Pahat, Johor sehingga menyebabkan kematian seorang pemandu Perodua Viva,” ujarnya.
Menurut beliau, walaupun Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 serta kod keselamatan iCOP SHE memberi ruang untuk tindakan mahkamah terhadap operator pengangkutan yang cuai, namun alasan ketiadaan bukti jelas serta pertuduhan khusus sering digunakan untuk menutup kelemahan itu.
“Saya menggesa dan merayu kepada Menteri Pengangkutan serta Jawatankuasa Kesesakan dan Keselamatan Jalan Raya (JKK) peringkat Kabinet termasuk Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan dan Ketua Pengarah JPJ agar tidak lagi bertolak ansur dan membuat alasan untuk tidak mengambil tindakan tegas.
“Sekarang adalah masa yang tepat untuk pihak berkuasa mengheret operator pengangkutan yang degil dan cuai ke mahkamah. Bangkitlah demi nyawa rakyat,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE