Fakulti Pengurusan Haji, Umrah di IUC, YEG Academy penuhi permintaan industri

6 hours ago 3

PUTRAJAYA – Kolej Universiti Inovatif (IUC) dan YEG Academy yang menubuhkan Fakulti Pengurusan Haji dan Umrah kini menjadi salah sebuah institusi pengajian tinggi di negara ini yang menawarkan program yang lengkap dan komprehensif meliputi daripada peringkat sijil hingga program sarjana.

Dekan, Fakulti Pengurusan Haji dan Umrah YEG Academy,  Mohamad Fikri Hasbi berkata, inisiatif ini menunjukkan betapa seriusnya bagi pihak kedua-dua kolej untuk memenuhi keperluan industri yang kini semakin berdaya saing dan berpotensi.

Menurut beliau, graduan daripada program ini akan tertumpu kepada pembangunan ilmu, kemahiran dan pengurusan meliputi pelbagai aspek seperti ibadah haji dan umrah, logistik, hospitaliti, ekonomi serta pengurusan pelancongan Islam. 

Jelasnya, melalui gabungan akademik dan latihan industri yang seimbang, fakulti ini menyediakan landasan kukuh untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja berilmu, tetapi juga berkemahiran tinggi dan bersedia menghadapi cabaran sebenar industri.

“Fakulti ini telah berjaya melahirkan seramai 1200 orang graduan Diploma Pengurusan Haji & Umrah dan lebih membanggakan apabila lebih 80 peratus graduan ini telah berkerjaya di pelbagai syarikat pelancongan pengendali haji  umrah,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Terbaharu, kolej berkenaan menawarkan Program Sarjana Pengurusan Haji & Umrah, satu-satunya program sarjana dalam pengurusan haji & umrah yang diiktiraf MQA dan ia bertujuan untuk melahirkan pakar rujuk dalam industri berkenaan.

Selain itu, pihak kolej juga menawarkan program Ijazah Fast Track  dengan tambahan 30 hari Praktikal di Mekah  dan Madinah

Program Ijazah ‘fast track’ itu adalah program gabungan diploma pengurusan haji & umrah serta Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Haji & Umrah ( Kepujian ). 

Menerusi program ini pelajar akan menjalani peringkat diploma selama dua tahun dan peringkat ijazah sarjana muda selama satu tahun enam bulan. 

Tempoh masa keseluruhan program ‘fast track’ ijazah ini adalah selama tiga  tahun enam bulan dan pelajar juga akan menjalani praktikal selama 30 hari di Mekah dan Madinah semasa semester akhir di peringkat Ijazah Sarjana Muda.

Graduan di peringkat diploma dilahirkan untuk perjawatan eksekutif, manakala graduan di peringkat Ijazah sarjana muda dilahirkan untuk perjawatan profesional. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |