SEBERANG PERAI – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mencatat 15 kejayaan utama sepanjang tiga tahun pelaksanaan Reformasi Pendidikan sekali gus menandakan transformasi nyata dalam memartabatkan sistem pendidikan negara.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pelbagai pencapaian positif dan kejayaan yang dikecapi dapat disaksikan selain langkah-langkah baharu diperkenalkan untuk melonjakkan sistem pendidikan negara agar lebih dinamik, inklusif dan relevan dengan cabaran masa depan.
“Antara kejayaan terbesar yang dilakar apabila pendidikan wajib menengah dilaksanakan selepas Rang Undang-Undang Pendidikan (Pindaan) 2025 dipinda dan diluluskan Parlimen.
“Selain itu, seramai 52,948 guru baharu merangkumi 98 peratus kadar pengisian guru tertinggi dalam hampir sedekad.
“Dalam pada itu, sebanyak 11 inisiatif keselamatan turut dilaksanakan serentak di seluruh negara merangkumi kos sebanyak RM5 juta bagi pemasangan CCTV baharu, manakala 10,096 guru dan kaunselor baharu mula bertugas dan 600 pembantu warden asrama dilantik,” katanya.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang, Datuk Ir. Ahmad Nadzri Abdul Majid (kiri) menyerahkan dokumen perakuan siap kerja kepada Setiausaha Bahagian Sektor Pembangunan Kementerian Pendidikan Malaysia, Mohd Radzuan Abd Manaf sambil diperhatikan oleh Fadhlina.Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Sekolah Baharu 20 Bilik Darjah, asrama dan kemudahan lain di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Tahir Jalaluddin, di Bukit Mertajam di sini baru-baru ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata antara pencapaian lain yang turut dikecapi adalah takwim sekolah kembali ke bulan Januari tahun depan selepas empat tahun jadual bercelaru susulan pandemik.
“Kita juga tidak malu untuk mengaku bahawa ada murid yang tertinggal akibat pandemik, namun kini seramai 398,496 murid berjaya menguasai asas membaca, menulis dan mengira (3M).
“Menerusi Reformasi Beban Guru pula, seramai 562 Pembantu Guru dilantik, manakala 600 Pembantu Warden (MySTEP) ditempatkan di sekolah-sekolah terpilih.
“Selain itu, sebanyak 44 sekolah baharu dibina pada tahun ini dan 44 projek sekolah daif berjaya disiapkan tahun ini,” katanya.
Tambah beliau, penambahan prasekolah seluruh negara mampu memberikan pendidikan awal yang bukan sahaja berkualiti tinggi dan mampu milik susulan mudah akses yang meningkat di kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman.
“Di samping itu, Sekolah K9 dan Sekolah K11 mencatatkan 0 peratus keciciran susulan anak pedalaman kekal belajar sehingga tamat persekolahan.
“Begitu juga dengan penyelesaian kurikulum berat dan kami tidak berpura-pura semuanya sempurna. Sehubungan itu, kita bina Kurikulum 2027 berlandaskan asas kukuh, beban berkurang dan pembelajaran lebih bermakna,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan terdapat lima lagi pencapaian yang tidak kurang hebatnya iaitu pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mencatatkan 99 peratus kebolehpasaran dan dana dinaikkan buat kali pertama dalam tempoh 22 tahun.
“Selain itu, sebanyak RM100 juta bantuan awal persekolahan diluaskan hingga tingkatan enam, manakala elaun Institut Pendidikan Guru (IPG) dinaikkan daripada RM430 kepada RM530.
“Tidak dilupakan juga Baucar Buku Madani yang menggalakkan anak-anak kembali membaca selain memberi guru ruang untuk terus menanam kecintaan terhadap ilmu.
“Selain itu, pengesanan dan intervensi murid berkeperluan khas diperkukuh di semua peringkat antaranya elaun RM150 sebulan buat murid OKU yang bertujuan untuk meringankan beban,” katanya.
Fadhlina berkata, Reformasi Pendidikan ialah perjalanan yang panjang dan memerlukan keberanian untuk membetulkan asas serta kesabaran untuk melihat hasilnya.
“Masih banyak yang perlu disempurnakan, namun arah pembaikan semakin jelas dan kita komited meneruskan kerja ini dengan prinsip bahawa pendidikan mesti membuka ruang dan memperkukuh masa depan anak anak kita,” katanya. -KOSMO! ONLINE

9 hours ago
3

















































