BANGKOK – Konfrontasi antara India dan Pakistan yang memiliki senjata nuklear mendorong syarikat-syarikat penerbangan sama ada membatalkan, melencongkan atau mengubah laluan penerbangan masing-masing hari ini.
Negara berjiran dan seteru lama itu berbalas tembakan artileri berat di sepanjang sempadan Kashmir selepas India melancarkan serangan peluru berpandu sebagai tindak balas terhadap serangan berdarah oleh kumpulan pemberontak bulan lepas.
Berikut ringkasan tindakan yang diambil oleh beberapa syarikat penerbangan antarabangsa untuk mengelakkan terbang menyeberangi zon konflik.
Malaysia
Malaysia Airlines mengubah laluan dua penerbangan dari Kuala Lumpur iaitu satu ke London (Heathrow) dan satu lagi ke Paris (Charles de Gaulle). Kedua-dua penerbangan akan singgah di Doha sebelum meneruskan perjalanan.
Syarikat penerbangan itu juga menggantung semua penerbangan menuju dan dari bandar Amritsar, India sehingga 9 Mei 2025.
Thailand
Thai Airways berkata, pihaknya mengubah laluan penerbangan ke destinasi di Eropah dan Asia Selatan dari pukul 5.00 pagi hari ini dan memberi amaran tentang kemungkinan berlaku kelewatan.
Sri Lanka
Sri Lankan Airlines menyatakan bahawa penerbangannya tidak terjejas dan tiada perubahan pada empat penerbangan mingguan menuju ke Lahore dan Karachi di Pakistan.
Korea Selatan
Korean Air mengubah laluan penerbangannya dari Seoul Incheon ke Dubai, menggunakan laluan selatan yang merentasi Myanmar, Bangladesh dan India, dan bukan laluan sebelumnya melalui ruang udara Pakistan.
“Kami sedang memantau situasi untuk perubahan selanjutnya,” kata seorang pegawai Korean Air kepada AFP.
Taiwan
China Airlines Taiwan berkata, beberapa penerbangannya telah dilencongkan atau dibatalkan.
Dua penerbangan dari Taipei ke Frankfurt dan Amsterdam ‘melakukan lencongan teknikal ke Bangkok’ sebelum kembali ke ibu negara Taiwan.
Tiga penerbangan dari Taipei ke Prague, Rom dan London telah dibatalkan pada hari Selasa dan Rabu.
“China Airlines terus memantau situasi dan akan menyesuaikan jadual penerbangan mengikut keperluan,” katanya.
EVA Air pula berkata, pihaknya akan menyesuaikan penerbangan ke dan dari Eropah ‘berdasarkan situasi sebenar untuk mengelakkan terbang di ruang udara terjejas bagi memastikan keselamatan anak kapal dan penumpang’.