KUALA LUMPUR – Sebuah syarikat pelaburan dan dua beranak iaitu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan anak lelakinya pengarah syarikat itu didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di sini hari ini atas pertuduhan mengiklan skim pelaburan tanpa kebenaran antara 2021 sehingga 2023.
Bagaimanapun syarikat Kenaf Trading Global Sdn. Bhd., CEO syarikat itu Jazman Shahar Abdollah, 53, dan pengarahnya, Irfan Hadi Jazman Shahar, 28, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus. Semasa prosiding untuk diambil pengakuan syarikat itu diwakili Irfan Hadi.
Mengikut pertuduhan, syarikat itu, Jazman dan Irfan Hadi didakwa telah mengeluarkan suatu iklan yang mengandungi maklumat yang membawa secara tidak langsung mana-mana orang untuk menjadi peserta dalam skim “Kenaf Development Fund”, tanpa skim itu didaftarkan dan dibenarkan di bawah Akta Skim Kepentingan 2016 (Akta 778).
Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah unit premis di Plaza Sentral di sini antara September 2021 sehingga Ogos 2022 dan antara September 2022 sehingga Ogos 2023.
Justeru syarikat berkenaan, Jazman Shahar dan Irfan Hadi didakwa mengikut Seksyen 3(2)(a) Akta Skim Kepentingan 2016 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 3(3) Akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda tidak melebihi RM50 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, Jazman Shahar juga didakwa dan mengaku tidak bersalah atas dua lagi pertuduhan iaitu terlibat secara langsung dalam pengurusan syarikat sama sedangkan pada tempoh itu dia merupakan seorang muflis yang masih belum dilepaskan.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di unit premis yang sama pada tarikh yang serupa selain pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 198(1)(a) Akta Syarikat 2016 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 198(7) Akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM1 juta atau kedua-duanya.
Semasa prosiding pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Nurul ‘Ain Shafie manakala syarikat itu, Jazman Shahar dan Irfan Hadi diwakili peguam Zahidah Md Zaman.
Hakim Azrul kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM40,000 ke atas Jazman manakala Irfan Hadi dibenarkan jaminan sebanyak RM20,000 berserta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis pada minggu pertama setiap bulan.
Mahkamah kemudian menetapkan 15 April depan bagi sebutan semula kes.
Sebelum ini media melaporkan SSM menyerbu beberapa premis milik syarikat dan syarikat amanah yang mendalangi skim pelaburan haram, dikenali sebagai Kenaf Development Fund (KDF), yang didapati mengaut hampir RM140 juta daripada 1,919 pelabur.
SSM memaklumkan, serbuan itu dijalankan susulan aduan diterima daripada pelabur KDF yang tidak berpuas hati dengan pihak syarikat kerana gagal membayar pulangan seperti yang dijanjikan. – KOSMO! ONLINE