PETALING JAYA – Seorang lelaki berdepan pengalaman hitam apabila dia sukar bernafas sehingga terpaksa dimasukkan ke bilik kecemasan sebuah klinik akibat keracunan bau gas selepas mencuci bilik air menggunakan peluntur dicampur pencuci lantai.
Kisah itu diceritakan oleh seorang pengguna Facebook Smith Ryder berhubung insiden menimpanya sehingga terpaksa menerima rawatan di klinik.
“Aku nak cuci tandas bawah, tempat isteri mandi, aku dah janji dengan dia yang aku nak bersihkan beberapa hari lepas.
“Semangat dah ada, bahan-bahan dah siap, pencuci lantai, peluntur, berus semua dah siap. Aku siap bergurau lagi dengan isteri sebelum nak cuci lantai.
“Tapi disebabkan bodoh dan tak terfikir yang peluntur campur pencuci lantai (menghasilkan) bau kimia yang teramat pedih hingga menyebabkan kesukaran bernafas,” katanya pada hantaran Facebook baru-baru ini.
Lelaki itu berkata, biarpun berasa pedih dan sukar bernafas, dia tetap menyiapkan kerja-kerja mencuci dan membersihkan bilik air serta tandas tersebut.
“Tapi dalam masa sama aku terbatuk, terbelahak, kahak, hingus berair mata semua keluar. Selesai cuci aku ‘start’ kereta terus ke klinik.
“Sampai sana bila aku cakap aku terhidu bahan beracun, terus dia heret aku masuk bilik kecemasan untuk diperiksa tahap oksigen, paru-paru, darah tinggi semua lah,” katanya.
Dia bersyukur apabila masih diperingkat awal keracunan bau kimia yang kuat dan doktor menyarankan sekiranya sukar bernafas, dia perlu bergegas ke hospital.
“Doktor sumbat oksigen 20 minit dan terus bagi aku ubat. Tapi serius korang jangan buat macam aku, serius rasa bodoh sampai ke hari ni tindakan aku.
“Aku ingat bila campur lagi cepat lah boleh bersihkan lantai semua, rupanya kalau buat begitu, lagi cepat pindah alam,” katanya. – KOSMO! ONLINE