Suhakam mohon tidak siar identiti pembuli kes Zara Qairina

3 weeks ago 18

PETALING JAYA – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menggesa orang ramai, khususnya pihak media agar tidak mendedahkan identiti lima remaja yang akan didakwa berhubung kes kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Suhakam berkata, kanak-kanak berhak mendapat perlindungan penuh di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611], termasuk sokongan berasaskan trauma, khidmat perundangan dan layanan yang adil.

“Nama, gambar, sekolah atau sebarang maklumat yang boleh membawa kepada pengenalan diri mereka tidak boleh didedahkan kepada umum.

“Seksyen 15 Akta 611 tersebut memperuntukkan kesalahan boleh dihukum bagi mana-mana pihak yang menerbitkan sebarang maklumat yang boleh mengenal pasti kanak-kanak yang terlibat dalam prosiding mahkamah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, Mahkamah Bagi Kanak-Kanak adalah mahkamah tertutup di bawah Seksyen 12 Akta 611, sekali gus hanya pihak terlibat secara langsung dibenarkan hadir.

Jelas Suhakam, fokus utama adalah mengelakkan stigma terhadap kanak-kanak terbabit selain menegaskan perbuatan membuli sama ada di sekolah atau di platform dalam talian tidak boleh diterima sama sekali.

“Platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok digesa untuk mengemas kini dasar dalaman serta piawaian komuniti mereka bagi mengenal pasti dan memadam secara proaktif apa-apa kandungan yang melanggar Seksyen 15 Akta 611,” ujarnya.

Kata Suhakam, kegagalan bertindak segera boleh menyebabkan mudarat kepada kanak-kanak dan dianggap bersubahat dalam pendedahan yang menyalahi undang-undang.

Semalam, Kosmo! melaporkan, Jabatan Peguam Negara (AGC) telah memutuskan untuk menuduh beberapa suspek yang terlibat dalam kes buli pelajar Tingkatan Satu, Allahyarham Zara Qairina.

Dalam kenyataannya itu, AGC menegaskan keputusan untuk menuduh suspek-suspek bagi kesalahan buli berkenaan dibuat memandangkan pertuduhan tersebut tidak akan menggangu proses inkues yang akan berjalan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |