STR untuk masyarakat India hampir RM1 bilion – Anwar

3 weeks ago 18

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini dimaklumkan, peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) untuk masyarakat India mencecah hampir RM1 bilion tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan itu meningkat dalam tempoh tiga tahun berbanding kira-kira RM500 juta pada tahun 2022.

Sehubungan itu, Perdana Menteri menolak dakwaan konon masyarakat India terpinggir, sebaliknya menegaskan fokus utama kerajaan adalah menoktahkan kemiskinan tegar semua masyarakat.

“Bantuan STR tahun 2022, peruntukan untuk masyarakat India setengah bilion ringgit dan untuk tahun 2025, tiga tahun berikutnya sudah mencecah hampir RM1 bilion, (iaitu) sebanyak RM972 juta.

“Jadi kalau dikatakan bantuan kepada masyarakat India khusus kepada Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) tidak benar. RM1 bilion itu terkeluar daripada peruntukan Mitra.

“Begitu juga jaminan Skim Kredit Perumahan tentunya sebahagian besar kepada Bumiputera, sebahagian kepada (masyarakat) Cina, tetapi peruntukan kepada masyarakat India itu RM1.2 bilion,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan S. Kesavan (PH-Sungai Siput) berhubung fokus Kerajaan Madani melalui Mitra atau lain-lain agensi dalam usaha untuk pembangunan sosioekonomi masyarakat India secara menyeluruh.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, melalui belanjawan tahunan, peruntukan program pembangunan sosioekonomi masyarkat India dibawah Mitra sebanyak RM100 juta.

Menurut beliau, Mitra akan diteruskan kerana ia telah pun dilaksanakan sebelum ini, namun berpendapat adalah lebih berkesan jika ia diselaraskan melalui kementerian dan agensi kerajaan.

“Sengaja saya rangkum ini semua untuk mengelakkan pandangan yang dipermainkan seolah-olah (masyarakat India) tidak dipedulikan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |