SPRM tahan lima pengusaha kebun haram musang king

3 weeks ago 23

KUANTAN – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan lima peneroka haram termasuk seorang pekerja kilang durian kerana disyaki mengusahakan kebun durian serta terlibat dalam amalan pengubahan wang haram di tanah berstatus Hutan Simpan dan tanah kerajaan di negeri ini.

Perintah tahanan reman selama empat hari sehingga 3 Oktober depan terhadap kesemua suspek dikeluarkan Majistret Mohd Fauzan Mohd Suhairi selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kuantan, hari ini.

Menurut sumber, kesemua suspek lelaki berusia lingkungan 40-an hingga 60-an itu ditahan antara pukul 12 tengah hari hingga 3 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM cawangan Raub.

“Siasatan awal mendapati kesemua suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut pada 2024 hingga 2025 dan mereka memperoleh keuntungan daripada aktiviti haram ini sehingga mencecah ratusan ribu ringgit.

“Kesemua suspek, empat daripadanya merupakan pekebun dipercayai terlibat dalam urus niaga haram ini secara turun temurun yang juga didapati enggan menyertai program pemutihan yang ditawarkan Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd yang telah dilantik sebagai pemegang pajakan tanah sah oleh kerajaan negeri Pahang,” katanya.

Rentetan Op Sekat Durian Haram yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri Pahang bermula 25 April 2024, SPRM Pahang telah menjalankan operasi secara bersepadu bersama Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang bermula 2 hingga 19 September lalu dalam usaha mengenal pasti 33 lokasi kebun durian haram dalam kawasan tanah kerajaan dan hutan simpan kekal.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang, Mohd Shukor Mahmud ketika dihubungi berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan beberapa siri tangkapan susulan akan dibuat bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |