KETIKA mula tertubuh sekitar 1996, nama Spider barangkali hanya satu antara pemuzik yang masuk ke belantika muzik tanah air, untung sabut timbul, untung batu tenggelam.
Bukan karya yang Spider tidak berkualiti sementelah dipandu sifu Datuk M. Nasir tetapi realiti dunia hiburan yang selalu bersifat ‘kacap terlabik’ akan membunuh secara tidak sengaja antusias berapi-api yang dibawa pemuzik seperti mereka.
Masa bergulir, Spider kini bukan hanya sebuah kumpulan atau penjenamaan muzik rock berbaur ska yang telah menghasilkan banyak karya hebat seperti Nazraku, Aladdin, Relaku Pujuk, Kasih Latifah dan Cinta Dewa Dewi menjadi kugiran legenda yang selalu dirujuk sebagai ‘latihan pemula’ anak-anak band masa kini.
Spider membuktikan kumpulan rock boleh kembali gemilang setelah tahun 1980-an.
Spider pernah menerima banyak pengiktirafan menerusi lagu Aladin dan dijulang sebagai Juara Lagu 2004 melalui Relaku Pujuk serta Nazraku diangkat sebagai Album Pop Rock
Terbaik di Anugerah Industri Muzik 2005.
Pada fasa turun naik sepak terajang mereka, Spider kekal relevan. Kekal berbisa.
Karya-karya baharu yang dihasilkan termasuk single Keluar Sarang yang dipasarkan tahun
2024 telah membuat peminat teruja menerima dan menonton persembahan hebat Spider.
Melihat kegilaan antusias peminat yang tidak pernah surut, penganjur Naga Legend Entertainment dengan bangga membawa Spider Unplugged Concert kepada peminat.
Bakal menggegarkan Megastar Arena Kuala Lumpur pada 25 Oktober depan, konsert disifatkan keraian muzik tersebut juga sebuah simbolik Spider sebagai sebuah kugiran yang unik, tersendiri dan hebat tanah air.
“Menyebut sahaja nama Spider sudah membuatkan kami di Naga Legend Entertainment berasa teruja apa lagi apabila lamaran kami untuk mengadakan konsert unplugged disambut baik.
“Dan konsep unplugged yang dibawakan adalah pertama kali kami tampilkan bersama Spider.
‘Tentu sahaja hasilnya akan ‘mewah’, tersendiri serta akan menjadi momen terbaik yang pernah disaksikan oleh peminat Spider,” ujar Fandy Alias wakil Naga Legend Entertainment.
Buat Spider yang terdiri daripada Tam (vokal), Aie (drum), Iss (bass) dan Pown (gitar), kesudian penganjur adalah kesepakatan dengan visi dan misi yang sama.
“Pertama tentu sahaja Spider tidak mahu mengadakan konsert yang ‘asal konsert’ kerana mahu terjun dalam keramaian dan semarak penganjuran konsert. Sama seperti penghasilan karya, begitu juga Spider selektif dalam penganjuran konsert terutama konsert solo.
“Jadi hal utama yang diberi penekanan adalah konsep. Spider tidak mahu naik ke pentas, ‘goreng muzik’, menyanyi ala kadar dan pulang.
“Apa yang peminat dapatkan dengan persembahan sebegitu?
“Sebaliknya Spider akan mendahulukan konsep, kualiti terutama daripada segi sistem audio dan teknikal lainnya serta kadar kesiapan kami yang berada pada tahap maksimum.
“Selepas itu barulah Spider boleh berikan yang terbaik dan ‘kasi pecah panggung’,” ujar Tam mewakili Spider.
Acara tersebut disifatkan Tam sebagai sebuah konsert yang belum pernah dipersembahkan dan sudah tiba waktu Spider tampil dengan sesuatu yang unik dan bakal menjadi sejarah penganjuran di negara.
Untuk menyaksikan bagaimana konsep Spider Unplugged di Mega Star Arena nanti, jangan sampai terlepas peluang merebut kategori tiket yang disediakan.
Tiket-tiket berharga RM198, RM238, RM298 dan RM388 kini boleh dibeli menerusi www.ilassotickets.com/spiderunplugged bermula 25 April 2025, bermula pukul 3 petang.
Satu pesanan serius, jangan sambil lewa dan tidak ‘berperang’ demi mendapatkan tiket Spider Unplugged nanti memandangkan telah terbukti penganjuran konsert sebelum ‘pecah teruk’ sambutannya. – KOSMO! ONLINE