Spekulasi jahat niat menjatuhkan Ferrari

14 hours ago 7

MONTREAL – Prinsipal Ferrari, Fred Vasseur kecewa terhadap laporan media di Itali yang disifatkannya tidak menghormati kakitangan pasukan dan boleh menjejaskan moral keseluruhan pasukan yang sedang berkerja keras dalam perlumbaan Formula Satu (F1).

Beberapa laporan di Itali menuduh kedudukan Vasseur goyah selain menyebut tentang kemungkinan Charles Leclerc akan berpindah menyertai pasukan lain, manakala masa depan Hamilton turut dipersoalkan.

Vasseur menegaskan bahawa tindakan sesetengah media seolah-olah mahu ‘menjatuhkan’ Ferrari menerusi spekulasi yang tidak berasas.

“Ini bukan mengenai diri saya kerana saya boleh menguruskannya. Ia lebih kepada kakitangan pasukan. Melemparkan nama individu sesuka hati dalam laporan tersebut adalah tindakan yang tidak menghormati mereka dan keluarga mereka.

“Kalau benar itu matlamat untuk menjejaskan pasukan, nampaknya mereka telah capai apa yang dihajati. Ini bukan caranya untuk menjuarai kejuaraan, bukan dengan kehadiran laporan wartawan seperti ini,” ujarnya.

Beliau turut memberi amaran segala bentuk gangguan seperti ini akan memberi kesan kepada usaha pasukan yang menumpukan sepenuhnya kepada prestasi dan persaingan sengit di litar.

Vasseur juga mempertahankan Leclerc yang didakwa mahu meninggalkan pasukan, sambil menegaskan pelumba dari Monaco itu berulang kali menyatakan komitmennya kepada Ferrari.

“Setiap kali ditemu ramah, dia akan kata mahu kekal dan menang bersama Ferrari. Tapi setiap hari Isnin, ada sahaja artikel mendakwa Charles akan berpindah musim depan. Saya pun tak tahu apa lagi yang kami perlu buat,” katanya.

Vasseur memberi jaminan beliau bersedia menanggung tekanan selaku ketua pasukan, namun tidak adil jika kakitangan lain yang berkeluarga menjadi mangsa laporan tidak bertanggungjawab.

Ferrari ketika ini menghuni tangga kedua di belakang McLaren dalam kedudukan pengeluar, namun ketinggalan 197 mata dan masih belum memenangi sebarang gelaran dunia sejak kali terakhir melakukannya pada 2008. – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |