Pembangkang perlu fahami impak pelaksanaan GST – PM

11 hours ago 5

LUMUT – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pembangkang perlu memahami implikasi pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) terhadap rakyat walaupun ia diakui sebagai kaedah percukaian yang baik.

Beliau berkata, negara ketika ini masih belum bersedia melaksanakan GST kerana ia akan memberi impak kepada golongan berpendapatan rendah seperti nelayan dan pekebun.

“GST ini maknanya cukai untuk semua walaupun rendah. Cukai terhadap gula, tepung, makanan dan semua rakyat kena bayar.

“(Kalau) tanya saya, sistem itu baik kerana senang cukai semua tetapi saya tanya, nelayan, pekebun kecil, pekerja peringkat bawah dan tukang cuci jalan pun nak kena cukai jugakah?

“Jadi sebab itu kita kata belum sedia laksanakan GST ini. Kalau esok ekonomi kita dah meningkat, gaji minima semua RM4,000 ke atas, (laksanakan) cukai GST pun,” katanya di sini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Madani Rakyat (PMR) 2025 yang bertemakan Pendidikan Tinggi Pemacu Negara Madani di Lumut Waterfront di sini hari ini.

PMR 2025 Perak yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat lalu memberi fokus kepada peranan institusi pendidikan tinggi sebagai pemangkin dasar dan pembangunan inisiatif yang berpaksikan disiplin ilmu seperti penyelidikan, inovasi dan pemikiran kritikal.

Pada masa sama, Anwar berkata, biarpun pelaksanaan GST sebanyak enam peratus walaupun baik secara dasarnya namun ia telah ditangguhkan buat masa ini.

“Saya nak tanya, kalau enam peratus (GST), semua kena bayar. Kenapa orang miskin kena bayar? Kenapa orang menganggur pergi makan kena bayar?

“Jadi saya minta faham dan tangguh (GST) tetapi ini pula jadi bahan politik. (Pembangkang) Tak tentu arah sekarang ini, tak ada benda nak kutuk, kutuk itu,” katanya.

Anwar berkata, negara melaksanakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) kerana ia tidak melibatkan barangan keperluan asas sebaliknya hanya produk pilihan seperti buah-buahan import terlibat dengan cukai itu. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |